Malaysia kekal komited menyokong usaha memupuk keamanan dan kestabilan serantau, termasuk di selatan Thailand, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, dialog yang berteraskan kepercayaan, persefahaman bersama dan keterbukaan merupakan elemen penting dalam mencapai penyelesaian damai yang menyeluruh dan berkekalan.
Menurut Anwar, usaha berkenaan perlu mengutamakan kesejahteraan penduduk di selatan Thailand.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook pada Khamis, selepas menerima kunjungan hormat daripada Fasilitator Malaysia bagi Proses Dialog Damai Selatan Thailand, Ahmad Norihan Jalal.
Ahmad Norihan baru-baru ini dilantik untuk memegang jawatan berkenaan.
Pelantikan itu berkaitan dengan peranan Malaysia dalam menyokong proses dialog damai bagi membantu usaha mencapai keamanan dan kestabilan di selatan Thailand.




















