Pemandu dari Malaysia berdepan denda, hukuman penjara di Thailand bermula April
Pihak polis trafik di Narathiwat memaklumkan penguatkuasaan lebih tegas itu bertujuan meningkatkan disiplin pemanduan dalam kalangan semua pengguna jalan raya, termasuk penunggang motosikal, selain usaha mengurangkan kadar kemalangan.
Rakyat Malaysia yang memandu di Thailand bakal berdepan hukuman berat termasuk denda sehingga RM2,385.41 (20,000 baht) dan penjara maksimum setahun jika melanggar peraturan jalan raya, bermula bulan depan, menurut laporan New Straits Times.
Pihak polis trafik di Narathiwat memaklumkan penguatkuasaan lebih tegas itu bertujuan meningkatkan disiplin pemanduan dalam kalangan semua pengguna jalan raya, termasuk penunggang motosikal, selain usaha mengurangkan kadar kemalangan.
Antara kesalahan utama yang diberi tumpuan termasuklah memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat merah, gagal berhenti di lintasan pejalan kaki, serta menggunakan telefon bimbit tanpa peranti bebas tangan.
Selain itu, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang memandu melawan arus, tidak memakai topi keledar bagi penunggang serta pembonceng, tidak memakai tali pinggang keledar, serta memandu di bawah pengaruh alkohol atau secara melulu.
Pihak berkuasa Thailand turut menegaskan bahawa mana-mana pemandu yang gagal menjelaskan denda dalam tempoh yang ditetapkan berdepan risiko kenderaan mereka disenaraihitamkan daripada memasuki negara itu.
Lebih merumitkan, pemandu juga akan dilarang meninggalkan Thailand sehingga semua tunggakan denda diselesaikan sepenuhnya di pejabat polis trafik yang ditetapkan.
"Kami menasihatkan pelancong Malaysia yang memasuki selatan Thailand bermula 1 April ini supaya lebih berwaspada dan mematuhi semua peraturan lalu lintas. Kami kerap menerima aduan mengenai pemandu Malaysia yang memandu terlalu laju, selain ada yang meletakkan kenderaan tanpa mengikut peraturan," kata seorang pegawai polis tempatan.
Langkah itu dilihat sebagai amaran keras kepada warga asing agar menghormati undang-undang tempatan, memandangkan aliran masuk kenderaan dari Malaysia ke wilayah selatan Thailand terus meningkat saban hari.