Thailand bakal melanjutkan tempoh permit kerja selama setahun untuk pekerja migran dari Myanmar, Laos dan Vietnam yang permit mereka dijangka tamat dalam beberapa bulan akan datang, lapor beberapa media Thailand.
Pengumuman itu dibuat Menteri Buruh Thailand, Trinuch Thienthong, yang menegaskan langkah tersebut penting bagi mengelakkan kekurangan tenaga kerja serta menyokong majikan dan sektor industri negara itu.
Lanjutan tersebut akan melibatkan pekerja migran yang permit mereka tamat antara Februari hingga Mac 2026.
Kementerian Buruh Thailand memaklumkan bahawa pekerja yang hampir tamat tempoh permit perlu memohon lanjutan sebelum dokumen mereka luput.
Permohonan bagaimanapun hanya boleh dibuat selepas Kementerian Dalam Negeri mengumumkan tarikh serta prosedur rasmi.
Majikan dan pekerja dinasihatkan membuat persiapan awal bagi mengelakkan kelewatan dalam pemprosesan.
Trinuch turut mengulangi kenyataan pada awal November lalu bahawa susulan ketegangan di sempadan dengan Kemboja, Thailand tidak akan melanjutkan permit untuk lebih 90,000 pekerja Kemboja.
Keperluan tenaga kerja itu sebaliknya akan dipenuhi oleh pekerja dari Myanmar, Laos dan Vietnam.
“Tidak akan berlaku kekurangan tenaga kerja yang serius di Thailand. Kami sedang bersiap sedia untuk melanjutkan permit kerja bagi pekerja dari Vietnam, Laos dan Myanmar,” kata beliau.
Menurutnya, majoriti pekerja Kemboja yang permitnya akan tamat berkhidmat dalam sektor pertanian, dan rancangan sedang diatur untuk merekrut pekerja pengganti selepas kontrak mereka berakhir.














