ASIA
2 min membaca
Polis hantar pasukan khas ke Islamabad siasat penahanan rakyat Malaysia disyaki scammer
Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail berkata jumlah sebenar rakyat Malaysia yang ditahan masih belum dapat disahkan kerana siasatan berada pada peringkat awal.
Polis hantar pasukan khas ke Islamabad siasat penahanan rakyat Malaysia disyaki scammer
Bangunan yang menempatkan pusat panggilan scammer di Islamabad. / AFP

Polis Diraja Malaysia menghantar pasukan khas ke Islamabad, Pakistan bagi menyiasat penahanan beberapa rakyat Malaysia yang disyaki terbabit dalam sindiket penipuan dalam talian, menurut laporan BERNAMA.

Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail berkata jumlah sebenar rakyat Malaysia yang ditahan masih belum dapat disahkan kerana siasatan berada pada peringkat awal.

“Menteri Dalam Negeri ada maklum kepada saya semalam, dan untuk ke tempat tertentu ini memerlukan tindakan yang bersepadu, bukan sahaja antara kita tetapi juga kerajaan kepada kerajaan,” katanya kepada pemberita pada Rabu.

Mohd Khalid berkata PDRM kini bekerjasama dengan pihak berkuasa Pakistan untuk mengesan rangkaian yang terbabit dalam kegiatan berkenaan.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan pihak berkuasa Pakistan menahan 258 warga asing dalam serbuan di sebuah pusat panggilan penipuan di Gulberg Green, pinggir Islamabad.

Menurut laporan itu, mereka yang ditahan termasuk 40 warga China dan 170 warga Vietnam, selain rakyat Malaysia serta beberapa rakyat dari negara Asia lain.

Mohd Khalid berkata trend semasa menunjukkan sindiket penipuan dalam talian semakin banyak membabitkan warga asing, khususnya dari China.

Bulan lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial menahan 182 warga asing yang disyaki cuba menjadikan Malaysia sebagai hab kegiatan penipuan dalam talian.

Beliau berkata Pusat Respons Scam Kebangsaan kini menerima lebih 500 panggilan setiap hari, dengan setiap aduan disusuli laporan polis bagi membolehkan JSJK mengambil tindakan segera.