Serangan udara Thailand terus membedil ketika Mesyuarat Menteri Luar ASEAN bermula
Malaysia menegaskan mesyuarat itu mencerminkan komitmen ASEAN terhadap perpaduan, solidariti dan peranan teras pertubuhan serantau itu dalam mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan.
Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) mengenai situasi semasa antara Kemboja dan Thailand, yang dipengerusikan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, bermula pada jam 12.14 tengah hari di Kuala Lumpur, lapor Bernama.
Mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Luar Malaysia Mohamad Hasan itu dihadiri menteri-menteri luar serta pegawai kanan negara anggota ASEAN dan Sekretariat ASEAN, termasuk Setiausaha Agung ASEAN Kao Kim Hourn.
Antara yang hadir termasuk Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Kemboja Prak Sokhonn dan Menteri Luar Thailand Sihasak Phuangketkeow.
Mesyuarat khas itu diadakan susulan keputusan perdana menteri Malaysia, Kemboja dan Thailand pada 11 Disember lalu, bagi menyediakan platform pertukaran pandangan dan mempertimbangkan langkah ASEAN dalam menyokong usaha menamatkan serangan serta permusuhan antara dua negara anggota berkenaan.
Malaysia menegaskan mesyuarat itu mencerminkan komitmen ASEAN terhadap perpaduan, solidariti dan peranan teras pertubuhan serantau itu dalam mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan, selaras dengan Piagam ASEAN dan Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama Asia Tenggara (TAC).
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam hantaran Facebook berkata mesyuarat berkenaan menjadi platform konstruktif bagi Kemboja dan Thailand mengadakan rundingan terbuka, menyelesaikan perbezaan secara aman serta mencari penyelesaian adil dan berkekalan.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan Negara Kemboja memaklumkan serangan udara dan bedilan artileri Thailand ke atas wilayah Kemboja berterusan untuk hari ke-16 berturut-turut, dengan jet pejuang F-16 dan artileri 155mm digunakan di beberapa kawasan di wilayah Banteay Meanchey, termasuk Poipet dan Malai, ketika mesyuarat ASEAN sedang berlangsung di Kuala Lumpur.