Malaysia kekal terdedah kepada turun naik harga minyak walaupun kedudukannya sebagai pengeksport tenaga bersih disokong lebihan gas asli cecair (LNG), menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB).
Bank itu berkata Malaysia merupakan pengimport bersih minyak, dengan defisit RM30.4 bilion bagi minyak mentah dan kondensat pada 2025, manakala produk petroleum ditapis mencatat lebihan RM3.2 bilion, menurut laporan BERNAMA.
“Lebihan keseluruhan minyak dan gas sebanyak RM18.2 bilion adalah daripada lebihan LNG sebanyak RM45.4 bilion,” menurutnya dalam nota penyelidikan pada Rabu.
Kenanga IB berkata kenaikan harga minyak tidak semestinya melindungi kedudukan fiskal kerajaan kerana subsidi bahan api berkait rapat dengan harga produk petroleum ditapis, manakala hasil LNG diterima melalui saluran fiskal berbeza dan pada tempoh kemudian.
Kementerian Kewangan menganggarkan setiap kenaikan AS$1 setong harga minyak meningkatkan hasil petroleum kerajaan Persekutuan sebanyak RM300 juta setahun, tidak termasuk dividen PETRONAS.
Pada masa sama, Kenanga IB menganggarkan paras harga yang mula mencetuskan subsidi RON95 adalah sekitar AS$44 setong Brent dan diesel kira-kira AS$48 setong.
“Kedua-dua paras ‘strike’ itu jauh lebih rendah daripada unjuran purata kami AS$80 setong untuk 2026. Oleh itu, pendedahan akan terus berlaku walaupun tiada lagi kejutan besar terhadap harga minyak,” katanya.
Bagaimanapun, pelaksanaan subsidi bersasar membantu mengurangkan beban fiskal, dengan BUDI95 dianggarkan menjimatkan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun, manakala BUDI Diesel memberi penjimatan tambahan RM2 bilion mulai Julai.
Secara keseluruhan, Kenanga IB menganggarkan langkah subsidi bersasar berpotensi menjimatkan kerajaan antara RM4.5 bilion hingga RM6 bilion setahun.
Menurutnya, Kementerian Kewangan melihat penjimatan itu sebagai ruang fiskal tambahan yang boleh digunakan untuk membiayai pendidikan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur pengangkutan awam.




















