Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa agar ketegangan di rantau Timur Tengah diselesaikan segera secara aman melalui jalan diplomasi yang bertanggungjawab, sambil mengutuk keras tindakan ketenteraan yang terus mengorbankan nyawa rakyat tidak berdosa.
Menerusi satu perbualan telefon bersama Presiden Republik Islam Iran Masoud Pezeshkian, Anwar menyampaikan ucapan Aidiladha serta menzahirkan solidariti rakyat Malaysia terhadap situasi genting yang melanda negara berkenaan ketika ini.
Malaysia kekal dengan pendirian tegas mengecam sebarang bentuk pencerobohan, termasuk serangan dron oleh rejim Israel dan sekutunya.
“Presiden Iran turut menyatakan penghargaan terhadap pendirian konsisten Malaysia yang menjunjung keamanan, keadilan dan prinsip kemanusiaan di pentas antarabangsa, selain mengundang saya untuk mengadakan lawatan ke Tehran bagi memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
“Insya-Allah, saya akan mengatur jadual untuk ke Iran pada masa yang sesuai. Iran sentiasa dekat di hati saya, apatah lagi ramai sahabat dan kenalan di sana yang terus mempertahankan nilai ilmu, persaudaraan dan perjuangan kemanusiaan sejagat,” kata Anwar dalam kenyataan pada Selasa.
Semasa berucap di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Anwar berkata hubungan diplomatik yang akrab antara Kuala Lumpur dan Tehran terbukti memberi impak positif yang praktikal, menurut laporan New Straits Times.
Perdana Menteri mendedahkan bahawa kerjasama erat tersebut telah membantu menjamin keselamatan laluan kapal tangki minyak Malaysia yang melalui Selat Hormuz, sekali gus mengekalkan kestabilan bekalan tenaga negara di sebalik ketidaktentuan pasaran global.
"Apabila kita menghadapi kesulitan melibatkan kapal dan bekalan minyak kita yang melalui Selat Hormuz, Malaysia antara yang terawal dibenarkan lalu. Penghantaran awal itu berjaya merentasi selat tersebut dan selamat tiba di Pengerang," jelas Anwar lagi.










