Dua jalan di Sungai Serai, Nanding ditutup susulan banjir di Hulu Langat

Pihak polis, bersama penduduk setempat, turut membantu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menuju ke pusat peperiksaan masing-masing di SMK Abdul Jalil dan SMK Dusun Nanding selepas laluan ke sekolah berkenaan ditenggelami air.

By
(FAIL) Dua laluan di Hulu Langat ditutup bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini susulan paras air yang terus meningkat. / Reuters

Dua laluan di kawasan Sungai Serai dan Nanding, Hulu Langat, ditutup sementara susulan hujan berterusan sejak awal pagi Khamis yang menyebabkan banjir di kawasan berkenaan, lapor Bernama.

Ketua Polis Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 6.18 pagi, sebelum menutup laluan berkenaan bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini susulan paras air yang terus meningkat.

Menurutnya, air di Batu 18 Hulu Langat sudah mula surut, manakala Batu 14 masih ditenggelami banjir. Anggota polis telah digerakkan untuk memantau keadaan di lokasi terjejas.

Beliau berkata polis, bersama penduduk setempat, turut membantu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menuju ke pusat peperiksaan masing-masing di SMK Abdul Jalil dan SMK Dusun Nanding selepas laluan ke sekolah berkenaan ditenggelami air.

Naazron menambah bahawa pusat pemindahan sementara telah diaktifkan dan menasihatkan penduduk yang terjejas supaya berpindah ke kawasan selamat.