Malaysia akan ambil tindakan undang-undang terhadap X, xAI berhubung isu Grok

MCMC sebelum ini telah menggantung akses kepada Grok pada Ahad, dan kini melantik firma guaman untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap X dan xAI.

By
Menurut MCMC, notis telah dikeluarkan kepada X dan xAI pada 3 dan 8 Januari lalu untuk menurunkan kandungan berkenaan, namun tiada tindakan diambil. / Reuters

Malaysia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap platform X dan syarikat xAI milik Elon Musk disebabkan kebimbangan mengenai keselamatan pengguna susulan kes yang melibatkan chatbot kecerdasan buatannya, Grok.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata Grok telah disalahgunakan untuk menjana dan menyebar kandungan berbahaya, termasuk imej lucah, eksploitasi seksual serta manipulasi tanpa kebenaran yang melibatkan wanita dan kanak-kanak.

MCMC sebelum ini telah menggantung akses kepada Grok pada Ahad, dan kini melantik firma guaman untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap X dan xAI, walaupun bentuk tindakan masih belum diperincikan.

“Langkah ini diambil susulan kegagalan pihak terbabit memastikan keselamatan pengguna di Malaysia dalam penggunaan Grok,” kata MCMC dalam kenyataan.

MCMC menegaskan kandungan tidak senonoh yang melibatkan wanita dan kanak-kanak merupakan perkara yang sangat serius dan melanggar undang-undang negara.

Menurut MCMC, notis telah dikeluarkan kepada X dan xAI pada 3 dan 8 Januari lalu untuk menurunkan kandungan berkenaan, namun tiada tindakan diambil.

Suruhanjaya itu turut menyatakan kedua-dua syarikat gagal menguatkuasakan dasar dalaman mereka sendiri berkaitan kandungan berbahaya.

Selain Malaysia, beberapa negara lain turut mengambil tindakan terhadap penggunaan Grok.

Indonesia menjadi negara pertama yang menggantung akses Grok sepenuhnya, manakala ciri penjanaan imej chatbot itu turut dihadkan kepada pengguna berbayar di beberapa negara lain, iaitu satu langkah yang turut menerima kritikan daripada pihak berkuasa dan pemerhati teknologi di Eropah.