ASIA
2 min membaca
11 murid cedera dalam ribut luar biasa di Telok Panglima Garang
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu turut menyebabkan kerosakan harta benda awam dan kediaman penduduk.
11 murid cedera dalam ribut luar biasa di Telok Panglima Garang
Kejadian itu turut menjejaskan lima sekolah, sebuah dewan komuniti dan kira-kira 40 rumah. / Screenshot
16 Oktober 2025

Seramai 11 murid sekolah rendah antara yang cedera selepas kawasan Telok Panglima Garang dilanda ribut kuat serta angin kencang menyerupai puting beliung pada petang Rabu, menurut laporan The Star.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu turut menyebabkan kerosakan harta benda awam dan kediaman penduduk.

“Seramai 11 murid Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan mengalami kecederaan ringan. Lima daripada mereka dirawat di Klinik Kesihatan Telok Panglima Garang manakala enam lagi dibawa pulang oleh keluarga masing-masing.

“Selain itu, seorang lelaki cedera di bahagian mata dan seorang wanita patah kaki selepas terkena objek logam ketika kejadian. Kedua-duanya kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, kejadian itu turut menjejaskan lima sekolah, sebuah dewan komuniti dan kira-kira 40 rumah yang mengalami pelbagai tahap kerosakan akibat angin kuat tersebut.

Antara yang terjejas ialah SMK Sijangkang Jaya, SK Sijangkang Jaya, SK Kampung Medan, SRA Kampung Medan, SK Jalan Tanjung, Dewan Wawasan Batu 9 Kampung Medan, Pejabat Penyelaras DUN Sijangkang serta kawasan perumahan di Batu 9 Kampung Medan dan Taman Perindustrian Sijangkang Jaya.

Pasukan kecemasan dan pihak berkuasa tempatan memulakan kerja pembersihan dan pemotongan pokok seawal jam 4.30 petang bagi membersihkan kawasan terlibat serta memulihkan laluan yang terjejas.

Pada jam 5.30 petang, Pegawai Daerah Kuala Langat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah mengisytiharkan kejadian itu sebagai Bencana Tahap 1 di Kampung Medan.

“Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Dewan Harmoni Batu 7 Sijangkang pada jam 8 malam bagi menempatkan penduduk yang terjejas. Setakat ini, lapan keluarga melibatkan 18 individu telah mendaftar di pusat berkenaan,” katanya sambil menasihatkan orang ramai supaya tidak menghampiri kawasan bencana tanpa kebenaran bagi mengelak kejadian tidak diingini.