Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat mengumumkan ia telah memperoleh perintah mahkamah untuk merampas sebuah kondominium mewah di New York, yang dipercayai dibeli menggunakan dana yang diselewengkan daripada syarikat pelaburan strategik Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Rampasan itu turut melibatkan pendapatan hasil sewaan kondominium berkenaan.
Tindakan undang-undang ini menyelesaikan kes sivil yang difailkan di sebuah mahkamah AS bagi Daerah Tengah California.
Kes tersebut bertujuan untuk mendapatkan semula aset bernilai lebih AS$6 juta yang terkait dengan konspirasi pengubahan wang haram antarabangsa melibatkan dana 1MDB.
Menurut dokumen mahkamah, dana bernilai berbilion dolar milik 1MDB telah diselewengkan antara tahun 2009 hingga 2015 oleh pegawai-pegawai tinggi syarikat berkenaan bersama sekutu mereka, termasuk ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.
Sebahagian daripada dana tersebut digunakan untuk membeli kondominium mewah di New York untuk May Ling Catherine Tan, yang merupakan pembantu peribadi Jho Low.
Pihak pendakwaan menegaskan dana 1MDB yang sepatutnya digunakan untuk memacu pembangunan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia, sebaliknya telah disalahgunakan oleh Jho Low dan sekutunya untuk kemewahan.
Antara barangan yang dibeli termasuk hartanah mewah di Beverly Hills, New York dan London, sebuah kapal layar mega sepanjang 300 kaki, karya seni mahsyur oleh Monet dan Van Gogh, serta pelbagai pelaburan perniagaan termasuk penerbitan filem "The Wolf of Wall Street".
Kes ini dikendalikan oleh peguam Barbara Levy daripada Bahagian Jenayah Pengubahan Wang Haram, Narkotik dan Pelucuthakan (MNF), dengan kerjasama Skuad Rasuah Antarabangsa Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di New York yang mengetuai siasatan.
"Unit Antarabangsa MNF komited untuk menyiasat dan mendakwa skim pengubahan wang haram rentas sempadan yang melibatkan organisasi jenayah transnasional dan rasuah pegawai asing yang menjejaskan sistem kewangan AS," jelas DOJ dalam satu kenyataan rasmi.











