Malaysia berisiko hadapi El Niño paling panas dalam sejarah
Pusat Ramalan Iklim di Amerika Syarikat menjangkakan El Niño akan mula terbentuk antara Julai dan Ogos ini, sebelum mencapai tahap intensiti maksimum menjelang akhir tahun dan dijangka hanya akan berakhir sepenuhnya pada Mei tahun hadapan.
Pakar klimatologi memberi amaran bahawa dunia, termasuk Malaysia, berkemungkinan besar bakal mencatatkan suhu tertinggi tahun ini akibat pertembungan fenomena El Niño yang kuat dan kesan pemanasan global yang kian meruncing, menurut laporan New Straits Times.
Felo Akademi Sains Malaysia Fredolin Tangang berkata selepas 2024 diisytiharkan sebagai tahun paling panas dengan peningkatan suhu 1.55 darjah selsius, trend suhu ekstrem ini dijangka kembali memuncak pada penghujung 2026 sehingga awal 2027.
Walaupun pengaruh La Niña menyebabkan suhu pada 2025 menurun sedikit, impak pemanasan bumi yang berterusan meletakkan tahun lalu sebagai tahun ketiga terpanas dalam rekod sejarah.
Pusat Ramalan Iklim di Amerika Syarikat menjangkakan El Niño akan mula terbentuk antara Julai dan Ogos ini, sebelum mencapai tahap intensiti maksimum menjelang akhir tahun dan dijangka hanya akan berakhir sepenuhnya pada Mei tahun hadapan.
Menurut Fredolin, kebarangkalian kemunculan El Niño semasa musim Monsun Barat Daya kini melebihi 70 peratus dan dijangka melonjak sehingga 90 peratus menjelang akhir tahun ini.
Fenomena ini merujuk kepada pemanasan melampau suhu permukaan laut di Lautan Pasifik, yang boleh menyebabkan suhu persekitaran melonjak melebihi 37 darjah selsius, malah berisiko mencecah 40 darjah selsiu dalam keadaan kelembapan yang rendah.
Secara teknikal, petanda awal El Niño mula dikesan melalui kelemahan lapisan thermocline di timur Lautan Pasifik yang mengurangkan lonjakan air sejuk ke permukaan.
Fredolin yang mempunyai pengalaman kaji selidik lebih tiga dekad menjelaskan bahawa tanda-tanda ini sudah mula kelihatan, sekaligus menandakan dunia sedang menuju ke arah fasa El Niño yang signifikan dan kuat bagi kitaran kali ini.
Situasi kering dan panas melampau ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan awam, malah membawa ancaman serius terhadap kestabilan ekosistem.
Pakar memberi amaran bahawa keadaan cuaca ekstrem ini akan meningkatkan risiko kemarau panjang, kejadian kebakaran hutan yang sukar dikawal, serta krisis jerebu rentas sempadan yang boleh menjejaskan kualiti udara di rantau ini sepanjang tahun.
Penduduk dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga, menjimatkan penggunaan air, dan sentiasa peka terhadap amaran cuaca yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa bagi menghadapi gelombang haba yang dijangka lebih mencabar berbanding tahun-tahun sebelum ini.