Malaysia tunggu lampu hijau PBB hantar pasukan pengaman ke Palestin
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata hasrat itu telahpun disampaikan kepada Majlis Keselamatan PBB, dan kerajaan kini menunggu mandat rasmi sebelum sebarang keputusan dapat dimuktamadkan.
Malaysia sedang menunggu lampu hijau daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghantar satu kontinjen pengaman ke Palestin bagi menjalankan misi kemanusiaan dan keselamatan, lapor Bernama.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata hasrat itu telahpun disampaikan kepada Majlis Keselamatan PBB, dan kerajaan kini menunggu mandat rasmi sebelum sebarang keputusan dapat dimuktamadkan.
“Kita sentiasa bersiap siaga untuk menghantar pasukan pengaman ke tugasan antarabangsa dan sebuah batalion sudah berada dalam keadaan bersedia.
“Bagi penugasan anggota kita ke Gaza, kita juga perlu mengambil kira persetujuan rakyat Palestin, sejajar dengan pendirian Malaysia yang menekankan penyelesaian menyeluruh — kerana keamanan di Palestin memerlukan pendekatan holistik,” katanya.
Adly berkata demikian ketika ditemui pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Melaka pada Selasa.
Beliau menambah bahawa kerajaan terus komited terhadap tanggungjawab antarabangsa, termasuk penempatan 150 anggota pengaman di bawah Malaysia Battalion (MALBATT) 850-12 yang kini berkhidmat di Lubnan, dengan misi itu dijangka tamat hujung tahun depan.
“Angkatan kita sentiasa bersedia untuk digerakkan ke mana-mana lokasi yang memerlukan misi pengaman antarabangsa,” katanya.
Laporan media sebelum ini menyebut bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang menunggu arahan rasmi daripada PBB berhubung misi pengaman ke Palestin.
Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar turut dipetik sebagai berkata bahawa ATM berada pada tahap kesiapsiagaan untuk digerakkan melaksanakan misi tersebut.