Korban bot karam di Filipina meningkat kepada 15, ratusan diselamatkan
Komander Pengawal Pantai Daerah Mindanao Selatan Romel Dua berkata operasi mencari dan menyelamat berjalan lebih pantas berikutan keadaan laut yang agak tenang, namun seramai 28 individu masih dilaporkan hilang setakat ini.
Angka korban akibat kemalangan bot penumpang di selatan Filipina meningkat kepada sekurang-kurangnya 15 orang, manakala 316 penumpang berjaya diselamatkan, menurut Pengawal Pantai Filipina (PCG) pada Isnin.
Kemalangan itu berlaku sekitar jam 1.50 pagi ketika bot MV Trisha Kerstin 3 dalam perjalanan ke Jolo, wilayah Sulu, selepas berlepas dari Zamboanga.
PCG memaklumkan bot berkenaan beroperasi dalam had kapasiti penumpang yang dibenarkan, dengan 332 penumpang dan 27 anak kapal berada di atas kapal.
Komander Pengawal Pantai Daerah Mindanao Selatan Romel Dua berkata operasi mencari dan menyelamat berjalan lebih pantas berikutan keadaan laut yang agak tenang, namun seramai 28 individu masih dilaporkan hilang setakat ini.
Beliau berkata siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian, di mana pesawat dan aset tentera turut dikerahkan untuk membantu operasi menyelamat.
Gabenor Basilan Mujiv Hataman menerusi hantaran di Facebook berkongsi rakaman mangsa yang diselamatkan di Pelabuhan Isabela, Mindanao, di mana ia menunjukkan penumpang dibantu turun dari bot, ada yang dibalut selimut dan dibawa menggunakan pengusung.
Hataman berkata kebanyakan mangsa yang terselamat berada dalam keadaan stabil, namun beberapa penumpang warga emas memerlukan rawatan kecemasan. Pihak berkuasa juga masih mengesahkan senarai penumpang.
Filipina kerap merekodkan kemalangan feri disebabkan cabaran keselamatan maritim di negara kepulauan yang mempunyai lebih 7,000 pulau.