Malaysia kekal berkecuali, rekod dagangan cecah RM3 trilion
Pertumbuhan tersebut disokong kuat oleh lonjakan dalam sektor eksport dan import, sekali gus membuktikan daya tahan ekonomi negara yang kekal utuh di tengah-tengah badai ketidaktentuan dasar perdagangan global.
Pendekatan berkecuali dan dasar tidak memihak yang diambil Malaysia terus membuahkan hasil apabila prestasi perdagangan negara melakar sejarah baharu, melepasi angka RM3.06 trilion pada tahun 2025.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin menegaskan bahawa pendirian sebagai "sahabat kepada semua" adalah kunci utama dalam mendepani ketidaktentuan geopolitik dunia dan tekanan tarif daripada kuasa besar seperti Amerika Syarikat.
Menurut beliau, pencapaian luar biasa ini diraih meskipun ekonomi global dihimpit cabaran rantaian bekalan dan ketegangan perdagangan antarabangsa.
Pertumbuhan tersebut disokong kuat oleh lonjakan dalam sektor eksport dan import, sekali gus membuktikan daya tahan ekonomi negara yang kekal utuh di tengah-tengah badai ketidaktentuan dasar perdagangan global.
Malaysia juga terus memperkukuh momentum perdagangan dengan China, yang kekal sebagai rakan dagang terbesar negara selama 17 tahun berturut-turut sejak 2009, dengan nilai mencecah RM541.45 bilion.
Dalam masa yang sama, hubungan dagang dengan Amerika Syarikat turut meningkat sebanyak 12.3 peratus kepada RM365.07 bilion, meletakkan negara itu sebagai rakan dagang ketiga terbesar Malaysia sejak sedekad lalu.
Menjawab pertanyaan di Dewan Negara mengenai imbangan tekanan kuasa besar, Sim menjelaskan bahawa MITI telah merangka strategi khusus bagi memastikan fiskal negara kekal mampan pada 2026.
Antara langkah proaktif yang diambil termasuk memperluas capaian pasaran ke wilayah baharu seperti Asia Barat, Afrika dan Amerika Selatan, yang menunjukkan pertumbuhan eksport signifikan pada tahun lalu.
Selain itu, Malaysia akan terus mengoptimumkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang kini menyumbang lebih 66 peratus daripada keseluruhan eksport negara.
Fokus utama juga diberikan kepada sektor bernilai tinggi seperti aeroangkasa, elektronik dan industri halal, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 bagi memastikan daya saing produk tempatan di persada dunia.
Di bawah inisiatif eksport digital, kerajaan menggalakkan penyertaan syarikat tempatan dalam platform e-dagang global seperti Alibaba dan Amazon melalui program e-Trade.
Setakat Disember 2025, lebih 4,500 pengeksport telah berdaftar di bawah Platform Perdagangan Digital Madani, sekali gus mempercepatkan akses