DUNIA
2 min membaca
Raih 184 undi, Malaysia dipilih sebagai ahli Majlis Ekonomi dan Sosial PBB
Ini merupakan kali kelapan Malaysia diberi kepercayaan menganggotai majlis berkenaan, selepas pernah berkhidmat untuk tujuh penggal berasingan sebelum ini antara tahun 1971 hingga 2010.
Raih 184 undi, Malaysia dipilih sebagai ahli Majlis Ekonomi dan Sosial PBB
(FAIL) Sebagai salah satu organ utama PBB, ECOSOC berfungsi sebagai platform yang menyelaras inisiatif ekonomi, sosial dan bidang berkaitan. / Reuters

Malaysia berjaya melakar pencapaian membanggakan di peringkat antarabangsa apabila dipilih sebagai ahli Majlis Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (ECOSOC) bagi penggal 2027 hingga 2029.

Dalam pemilihan yang berlangsung semasa Sesi ke-80 Perhimpunan Agung PBB (UNGA) pada 4 Jun, Malaysia meraih sokongan padu dengan memperoleh 184 undi daripada 186 negara anggota yang hadir, sekali gus mencatatkan jumlah undian tertinggi secara keseluruhan.

Kejayaan ini mencerminkan keyakinan tinggi komuniti antarabangsa terhadap komitmen berterusan Malaysia dalam memperkasakan multilateralisme dan pembangunan mampan.

Sebagai salah satu daripada enam organ utama PBB, ECOSOC berfungsi sebagai platform utama yang menyelaras inisiatif ekonomi, sosial dan bidang berkaitan di bawah naungan agensi antarabangsa tersebut.

Peranannya kini dilihat semakin kritikal dalam memacu pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di tengah-tengah landskap global yang mencabar.

Sepanjang tempoh keanggotaan ini, Malaysia bertekad untuk terus memperjuangkan kepentingan negara-negara membangun serta bekerjasama secara konstruktif dengan pelbagai pihak.

Usaha ini merangkumi langkah menangani krisis sejagat seperti ketidaktentuan ekonomi, krisis kemanusiaan, ketidaksamaan dan kesan buruk perubahan iklim.

Kuala Lumpur juga akan memberikan keutamaan kepada agenda pembasmian kemiskinan, pembiayaan pembangunan, keterjaminan makanan, pemerkasaan belia, pendidikan berkualiti, serta penjagaan kesihatan mampu milik demi kesejahteraan komuniti yang rentan.

"Pemilihan ke ECOSOC ini mencerminkan pengiktirafan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap komitmen berterusan Malaysia terhadap multilateralisme, pembangunan mampan dan kerjasama antarabangsa," menurut kenyataan rasmi Wisma Putra.

Untuk rekod, ini merupakan kali kelapan Malaysia diberi kepercayaan menganggotai majlis berkenaan, selepas pernah berkhidmat untuk tujuh penggal berasingan sebelum ini antara tahun 1971 hingga 2010.

SUMBER:TRT Global