‘Saya langsung tiada kaitan’, kata PM Anwar mengenai emel melibatkan Epstein

Anwar berkata beliau hanya dimaklumkan semalam mengenai kewujudan emel tersebut yang melibatkan pihak luar yang didakwa ingin mengatur pertemuan dan ‘memetik’ namanya dalam kes berkaitan Epstein.

By
Kenyataan Anwar yang menggunakan #DoneExplain itu juga menarik perhatian ramai rakyat Malaysia. (FAIL) / Reuters

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan sebarang kaitan dengan mendiang ahli kewangan kontroversi, Jeffrey Epstein, susulan tular tangkap layar pertukaran emel bertarikh 14 tahun lalu yang memetik namanya.

Menerusi hantaran ringkas di Facebook pada Ahad, Anwar berkata beliau hanya dimaklumkan semalam mengenai kewujudan emel tersebut yang melibatkan pihak luar yang didakwa ingin mengatur pertemuan dan ‘memetik’ namanya dalam kes berkaitan Epstein.

“Alhamdulillah, dah belasan tahun seperti yang disebut dalam emel, dan saya langsung tiada kaitan dengan mana-mana pihak yang berbalas email tu, terutama Epstein,” katanya.

Tangkap layar emel yang tular itu menunjukkan pertukaran mesej bertarikh 21 Februari 2012 antara Epstein dan seorang individu yang tidak dikenal pasti, yang mencadangkan satu pertemuan dengan Anwar, ketika itu dijangka akan menjadi perdana menteri.

Anwar turut menegaskan bahawa dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan perkara tersebut adalah tidak berasas.

Beliau mengakhiri kenyataannya dengan memaklumkan sedang meneruskan urusan peribadi di Johor Bahru.