Malaysia telah memberikan penjelasan rasmi kepada kerajaan Amerika Syarikat berhubung dasar negara yang tidak pernah mengiktiraf Israel, susulan tindakan Jabatan Negara AS (DoS) memanggil Duta Besar Malaysia ke AS, Muhammad Shahrul Ikram Yaakob, menurut laporan Malaysia Gazette.
Menteri Luar Mohamad Hasan menegaskan pendirian tersebut bukanlah perkara baharu, sebaliknya telah menjadi dasar imigresen negara sejak sekian lama.
Penjelasan itu dibuat susulan tindakan Malaysia meminta seorang individu dengan dua warganegara (AS dan Israel) untuk meninggalkan negara selepas dikesan memiliki pasport rejim Zionis.
“Memang menjadi dasar Malaysia, dasar imigresen kita tidak memperakui negara Israel dan rejim Zionis. Ini sudah lama, bukan baharu, tetapi kerana ada satu orang itu yang ada dua kewarganegaraan... bila disemak semula, dia ternyata mempunyai satu lagi kewarganegaraan Israel, maka kita minta dia keluar,” kata Mohamad.
Beliau menambah bahawa perkara berkenaan sedang diuruskan secara berhemah melalui saluran diplomatik dan menyifatkannya bukan satu isu besar.
Dalam masa sama, Mohamad turut mengesahkan beliau telah menyuarakan pendirian Malaysia mengenai konflik di Palestin secara bersemuka dengan Setiausaha Negara AS.
“Saya beritahu, berapa ramai lagi rakyat Palestin yang kamu nak bunuh? Saya cakap dengan Setiausaha Negara Amerika, dia duduk sebelah saya. Kamu sudah membunuh wanita dan kanak-kanak. Apa alasan yang hendak diberikan untuk membunuh mereka? Alasan untuk mempertahankan diri tidak boleh kita terima,” tegas beliau.
Sementara itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyokong pendirian tersebut dengan menegaskan Malaysia kekal menyekat kemasukan warganegara Israel berdasarkan prinsip menentang kezaliman di Gaza, walaupun lapan Ahli Kongres AS menyuarakan rasa tidak berpuas hati dengan keputusan itu.


















