ASIA
2 min membaca
Malaysia teliti pendaftaran platform e-dagang, lindungi pengguna
Menurut Fahmi Fadzil, kerajaan akan mengadakan sesi libat urus dengan pengendali platform sebelum menentukan kerangka yang sesuai.
Malaysia teliti pendaftaran platform e-dagang, lindungi pengguna
(FAIL) Fahmi Fadzil berkata kerajaan mahu memastikan barangan yang dijual mematuhi piawaian negara. / Foto: FB Fahmi Fadzil

Kerajaan Malaysia sedang meneliti mekanisme kawal selia termasuk pendaftaran platform e-dagang bagi memastikan pengguna dilindungi daripada penjualan produk yang tidak memenuhi piawaian keselamatan dan peraturan tempatan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata perkara itu diputuskan Jemaah Menteri susulan aduan yang diterima Perdana Menteri Anwar Ibrahim daripada orang awam, pengendali platform e-dagang serta peniaga kedai fizikal.

“Hasrat kerajaan adalah untuk pastikan para pengguna sentiasa dilindungi. Jadi, apa-apa tindakan diambil, yang kita utamakan adalah pengguna dan pembeli daripada platform-platform e-dagang ini,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.

Fahmi berkata kerajaan tidak berhasrat menutup atau menyekat mana-mana platform, sebaliknya mahu memastikan barangan yang dijual mematuhi piawaian negara.

“Kita mahu contohnya bagi produk-produk elektrik dan elektronik, ia harus menepati piawaian SIRIM. Bagi produk-produk yang dijual sekiranya ada status halal pula, maka ia mesti mematuhi piawaian halal yang kita guna pakai dalam negara,” katanya.

Menurut beliau, Kementerian Kewangan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri sudah mempunyai proses pendaftaran masing-masing, manakala Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut mempunyai mekanisme berkaitan.

Tambahnya, kerajaan akan mengadakan sesi libat urus dengan pengendali platform sebelum menentukan kerangka yang sesuai.

Fahmi berkata pengalaman MCMC melaksanakan kerangka pelesenan platform media sosial boleh menjadi rujukan dalam perbincangan dengan pengendali e-dagang.

“Mungkin perbincangan yang hampir serupa boleh diadakan dengan pihak platform e-dagang,” katanya.

MCMC menerima 1,964 aduan berkaitan platform e-dagang, termasuk penipuan, sejak Januari 2025 hingga 25 Ogos tahun ini.

Daripada jumlah itu, 191 aduan membabitkan produk elektrik atau elektronik manakala empat berkaitan kesahihan status halal produk.

SUMBER:TRT Global