Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan memandang serius insiden yang mengorbankan tiga pekerja kontraktor pelantar minyak di perairan Terengganu kelmarin.
Beliau memberi jaminan bahawa keutamaan akan diberikan untuk memperkukuh aspek keselamatan sektor pekerjaan di negara.
Dalam kenyataan berhubung tragedi tersebut, Perdana Menteri turut menzahirkan rasa dukacita dan menyampaikan ucapan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden itu.
"Takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka diberikan kekuatan serta ketabahan menghadapi dugaan yang amat berat ini dan moga mangsa yang sedang menerima rawatan dikurniakan kesembuhan segera," kata beliau dalam kenyataan di X.
Tragedi yang berlaku pada jam 12.50 tengah hari itu melibatkan empat pekerja yang dipercayai menaiki sebuah bot penyelamat dari atas pelantar minyak untuk turun ke laut bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan.
Bagaimanapun, cangkuk atau tali pada bot tersebut dilaporkan tercabut, menyebabkan kesemua mereka terjatuh ke dalam laut bersama bot berkenaan.
Mangsa yang terkorban disahkan sebagai Ahmad Fiqri Zakaria, 38; Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28; dan Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 38.
Manakala seorang lagi mangsa, Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37, mengalami cedera parah dan kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Dalam pada itu, PETRONAS turut mengesahkan kejadian melibatkan pekerja kontraktornya dan memaklumkan bahawa siasatan menyeluruh kini sedang dijalankan dengan kerjasama rapat pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca sebenar insiden tersebut.

















