ASEAN perkasa mekanisme perkongsian bahan api

Mana-mana negara anggota yang mengalami kekurangan 10 peratus daripada keperluan domestik untuk 30 hari berturut-turut boleh mengeluarkan notis kecemasan dan negara anggota lain akan berusaha membekalkan petroleum atas semangat setiakawan.

By
Perkongsian antara negara-negara ASEAN itu dijangka akan dilaksanakan atas dasar sukarela dan komersial. (FAIL) / AFP

Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) kini dalam usaha mempercepatkan penguatkuasaan mekanisme perkongsian tenaga dalam berdepan gangguan bekalan luar jangka, lapor Philippine Daily Inquirer.

Langkah proaktif itu dijangka membolehkan negara-negara anggota saling menyokong keperluan minyak dan gas, terutamanya ketika ketegangan di Timur Tengah semakin memuncak dan kini menjejaskan laluan maritim utama seperti Selat Hormuz.

Di bawah Perjanjian Keselamatan Petroleum ASEAN (APSA), mana-mana negara anggota yang mengalami "kekurangan kritikal" — ditakrifkan sebagai kekurangan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada keperluan domestik selama 30 hari berturut-turut — boleh mengeluarkan notis kecemasan.

Sebagai tindak balas, negara anggota lain akan berusaha membekalkan petroleum bagi menampung jurang bekalan tersebut berdasarkan semangat setiakawan serantau.

Timbalan Setiausaha Perdagangan Filipina, Allan Gepty, memaklumkan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN telah bersetuju untuk memuktamadkan APSA menjelang Sidang Kemuncak ASEAN pada Mei ini.

Walau bagaimanapun, perkongsian itu tetap dilaksanakan atas dasar sukarela dan komersial.

Ini bermakna negara yang terkesan perlu membayar mengikut kadar pasaran semasa, memandangkan kebanyakan eksport negara anggota terikat dengan kontrak jangka panjang.

Di Filipina, Presiden Ferdinand Marcos Jr. memberi jaminan bahawa simpanan minyak negaranya masih mencukupi untuk tempoh 50 hingga 60 hari.

Meskipun industri minyak Filipina tertakluk kepada dasar deregulasi, pihak Kongres kini sedang mempertimbangkan undang-undang khas bagi memberi kuasa kecemasan kepada Presiden untuk menggantung eksais bahan api bagi mengurangkan beban rakyat akibat kenaikan harga global.

Namun, cadangan penggantungan cukai tersebut menerima amaran daripada badan pemikir Action for Economic Reforms (AER). Mereka berpendapat langkah itu bersifat "regresif" kerana lebih menguntungkan golongan berpendapatan tinggi yang merupakan pengguna utama bahan api.

AER sebaliknya menyarankan bantuan bersasar diberikan kepada sektor kritikal seperti pengangkutan awam bagi melindungi golongan berpendapatan rendah.

Data Jabatan Kewangan Filipina menunjukkan 10 peratus isi rumah terkaya menguasai hampir separuh daripada penggunaan bahan api negara.

Penggantungan eksais dikhuatiri akan menyebabkan kerugian hasil kerajaan sebanyak P135 bilion (RM8.87 bilion) sehingga hujung tahun, sekaligus mengecilkan ruang fiskal negara dalam mendepani tekanan ekonomi global yang kian mencabar.