Amerika Syarikat telah memindahkan dua tahanan dari Malaysia dari penjara tenteranya di Teluk Guantanamo ke negara asal mereka.
Ini selepas mereka mengaku bersalah atas tuduhan pengeboman di Bali pada 2002 dan bersetuju untuk memberi keterangan mengenai dalang serangan itu, kata Pentagon.
Menurut pendakwa raya, Mohammed Farik Amin dan Mohammed Nazir Lep pernah bekerja dengan Encep Nurjaman selama beberapa tahun. Nurjaman merupakan pemimpin Jemaah Islamiyah di Indonesia yang terkait dengan Al Qaeda dan turut dikenali sebagai Hambali.
Dua lelaki dari Malaysia itu turut membantu Nurjaman melarikan diri selepas pengeboman pada 12 Oktober 2002 yang meragut 202 nyawa di dua kelab malam di Bali, kata pegawai AS.
Kedua-dua lelaki itu mengaku bersalah atas konspirasi dan tuduhan lain pada Januari tahun lalu.
Pemindahan Mohammed Farik dan Mohammed Nazir dilakukan selepas mereka memberi keterangan yang boleh membantu pihak pendakwa raya terhadap Nurjaman yang didakwa sebagai dalang tragedi itu, menurut Pentagon dalam satu kenyataan.
Nurjaman kini berada dalam tahanan di Guantanamo sementara menunggu perbicaraan awal yang dijadualkan semula pada Januari mengenai pengeboman Bali dan serangan lain.
Susulan pemindahan dua lelaki Malaysia itu, terdapat 27 tahanan lain yang masih berada di Kem Tahanan Teluk Guantanamo.
‘Perang terhadap keganasan’ oleh AS
Presiden George W. Bush menubuhkan tribunal tentera dan penjara selepas serangan Al Qaeda pada 11 September 2001 di AS.
Pada kemuncaknya, Guantanamo mempunyai ratusan tahanan, kebanyakannya orang Islam, susulan “perang terhadap keganasan” yang diisytihar tentera AS selepas serangan 11 September.
Hanya dua orang di Guantanamo sedang menjalani hukuman. Pendakwaan AS terhadap tujuh lelaki lain yang kini menghadapi tuduhan telah tertangguh disebabkan halangan undang-undang - termasuk kesan penyeksaan terhadap mereka semasa awal penahanan di bawah CIA - serta isu logistik.
Pada Selasa, pihak berkuasa AS memulangkan seorang lelaki dari Kenya, Mohammed Abdul Malik Bajabu, selepas berada di Guantanamo selama 17 tahun tanpa bicara.
Pembebasannya meninggalkan 15 tahanan lain yang tidak pernah didakwa dan sedang menunggu untuk dibebaskan. AS sedang mencari negara yang sesuai dan stabil yang sanggup menerima mereka. Kebanyakan mereka berasal dari Yaman, iaitu negara yang bergolak akibat perang.
Amnesty International sebelum ini menggesa Presiden Joe Biden untuk membebaskan mereka yang tidak pernah didakwa. Jika tidak, kumpulan hak asasi itu berkata, “beliau akan terus bertanggungjawab atas amalan penahanan tanpa tuduhan atau perbicaraan yang keji oleh kerajaan AS.”















