Rundingan sempadan Thai–Kemboja diteruskan, serangan berkurangan
Menurut laporan media Thailand, mesyuarat kedua sekretariat Jawatankuasa Sempadan Am Thailand–Kemboja (GBC) pada Khamis bermula sekitar jam 9 pagi waktu tempatan di sebelah Thailand, di wilayah Chanthaburi.
Rundingan sempadan antara Thailand dan Kemboja diteruskan lagi, dengan pihak tentera Thailand memaklumkan bahawa tahap pertempuran di sepanjang sempadan menunjukkan trend penurunan, lapor Xinhua.
Menurut laporan media Thailand, mesyuarat kedua sekretariat Jawatankuasa Sempadan Am Thailand–Kemboja (GBC) pada Khamis bermula sekitar jam 9 pagi waktu tempatan di sebelah Thailand, di wilayah Chanthaburi.
Sekitar 30 perwakilan Kemboja menghadiri mesyuarat itu, yang turut disertai anggota Pasukan Pemerhati ASEAN dari Malaysia.
Dalam taklimat media pada semalam, jurucakap tentera Thailand berkata intensiti pertempuran antara kedua-dua negara secara keseluruhannya semakin berkurangan, dengan insiden tembak-menembak kini terhad kepada beberapa kawasan setempat sahaja.
Bagaimanapun, Komando Kawasan Tentera Darat Kedua Thailand melaporkan dua anggota tentera Thailand cedera akibat letupan periuk api ketika menjalankan operasi pembersihan di kawasan Kuil Ta Kwai pada hari yang sama.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan Kemboja memaklumkan seorang lagi orang awam terbunuh pada Khamis, menjadikan jumlah kematian orang awam di pihak Kemboja meningkat kepada 31 orang sejak konflik tercetus.
Mesyuarat sekretariat GBC dijadual berlangsung dari Rabu hingga Jumaat, dan sekiranya perbincangan awal berjalan lancar, ia akan disusuli dengan pertemuan menteri pertahanan kedua-dua negara pada Sabtu, kata jurucakap Kementerian Pertahanan Thailand Surasant Kongsiri.