Penduduk sambut baik gencatan senjata, namun kepulangan masih belum pasti
Setakat 27 Disember, Pusat Keselamatan Pasar Ta Dok sahaja menempatkan 2,337 keluarga atau 8,485 orang, mencerminkan skala pemindahan akibat konflik tersebut.
Ratusan ribu keluarga yang melarikan diri akibat pertempuran sempadan di wilayah Banteay Meanchey menyambut baik gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand, namun ramai masih tidak pasti bila mereka boleh pulang ke rumah.
Penilaian keselamatan dan arahan rasmi pihak berkuasa masih belum dikeluarkan, menurut laporan The Phnom Penh Post.
Setakat 27 Disember, Pusat Keselamatan Pasar Ta Dok sahaja menempatkan 2,337 keluarga atau 8,485 orang, mencerminkan skala pemindahan akibat konflik tersebut.
Antaranya ialah So Chanren, 58, dari Kampung Thnal Bot, di daerah O’Bei Choan, yang melarikan diri pada 9 Disember apabila pertempuran semakin memuncak di sempadan dan kini berlindung di pusat keselamatan itu di daerah Mongkol Borey.
“Saya gembira bila dengar tembakan telah berhenti,” katanya. “Saya berdoa agar negara ini menikmati keamanan berkekalan supaya generasi akan datang boleh hidup dan belajar dengan aman.”
Namun, beliau berkata kepulangan ke rumah masih bergantung kepada arahan pihak berkuasa. “Jika rumah rosak, asalkan tanah masih ada, saya boleh bina semula. Saya cuma mahu pulang secepat mungkin.”
Seorang lagi mangsa, Yern Reth, 58, dari kawasan berhampiran pintu sempadan Boeung Trakuan, berkata beliau melarikan diri bersama tiga cucu kecilnya pada 9 Disember, sebelum rumahnya terkena bedilan pada keesokan harinya.
Walaupun kehilangan tempat tinggal, Yern Reth berkata beliau terpaksa meneruskan kehidupan demi keselamatan keluarga.
Di Pusat Keselamatan Wat Pongor di Sangkat Kampong Svay, bandar Serey Sophon, seramai 944 keluarga atau sekitar 3,300 orang kini berlindung di situ, iaitu sebahagian daripada lebih 61,000 keluarga — hampir 200,000 orang — yang dipindahkan di seluruh wilayah berkenaan.
Praang Srey Mao dari Komun Singha berkata keadaan di pusat keselamatan itu agak baik, namun keinginan untuk pulang tetap kuat. “Kami mahukan keamanan — keamanan yang berkekalan,” katanya.
Bagi Prom Yasprom dari daerah Ochrov, yang melarikan diri demi keselamatan isteri dan cucu-cucunya, gencatan senjata memberi kelegaan sementara.
Namun ketidakpastian masih menyelubungi komuniti itu, yang kini menunggu kelulusan rasmi untuk pulang dan menilai kerosakan rumah masing-masing.