Filipina janji ketelusan penggunaan dana bagi penganjuran ASEAN
Pegawai Akhbar Istana berkata proses perolehan dipantau dengan ketat, termasuk penilaian kos serta kesesuaian acara, sambil menegaskan komitmen kerajaan Filipina untuk mengelak sebarang isu berkaitan rasuah.
Kerajaan Filipina memberi jaminan bahawa penggunaan dana awam untuk penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN dan mesyuarat berkaitan tahun ini akan dilaksanakan secara telus, menurut Istana Malacañang seperti dipetik Philippine News Agency.
Pegawai Akhbar Istana Claire Castro berkata Presiden Ferdinand Marcos Jr. akan memastikan tiada penyelewengan berlaku dalam proses pelepasan dan penggunaan dana bagi semua acara berkaitan ASEAN.
Beliau berkata proses perolehan dipantau dengan ketat, termasuk penilaian kos serta kesesuaian acara, sambil menegaskan komitmen kerajaan Filipina untuk mengelak sebarang isu berkaitan rasuah.
Castro menjelaskan mesyuarat ASEAN diklasifikasikan sebagai acara antarabangsa berprofil tinggi yang boleh dikecualikan daripada proses tender terbuka biasa, sekali gus membolehkan kaedah perolehan alternatif seperti kontrak atau rundingan terus mengikut peraturan sedia ada.
Mengulas kritikan terhadap pemilihan NUSTAR Resort and Casino di Cebu sebagai lokasi acara ASEAN, Castro berkata pemilihan resort lima bintang itu tidak melanggar sebarang protokol rasmi walaupun ia mempunyai kemudahan kasino.
Beliau menegaskan lokasi tersebut digunakan semata-mata bagi penganjuran acara antarabangsa dan bukannya untuk aktiviti perjudian.
Castro turut menolak dakwaan bahawa Filipina melanggar etika atau sensitiviti kehadiran delegasi dari negara anggota ASEAN yang majoritinya penganut agama Islam.