Malaysia mengecam sekeras-kerasnya keputusan rejim Zionis Israel untuk melarang dan menggantung operasi organisasi bantuan kemanusiaan antarabangsa di Gaza.
Menurut Wisma Putra, Malaysia menyifatkan tindakan itu sebagai pelanggaran nyata terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Menurut satu kenyataan, langkah tersebut hanya akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sudah berada pada tahap kritikal, susulan lebih dua tahun serangan berterusan Israel terhadap rakyat Palestin di wilayah berkenaan.
Halangan terhadap bantuan kemanusiaan itu disifatkan sebagai satu bentuk hukuman kolektif ke atas orang awam.
Malaysia turut menegaskan bahawa sekatan berkenaan menjejaskan prinsip kenetralan dan kebebasan operasi organisasi kemanusiaan.
Sebagai kuasa penjajah, Wisma Putra berkata Israel mempunyai tanggungjawab di bawah Fourth Geneva Convention untuk memastikan akses bantuan kemanusiaan ke Gaza dilaksanakan tanpa sebarang halangan.
“Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa bertindak tegas untuk mendesak Israel menarik balik keputusannya serta memastikan penyampaian bantuan kemanusiaan dilakukan secara penuh dan tanpa sekatan,” kata kenyataan itu. “Israel juga mesti dipertanggungjawabkan atas sebarang pelanggaran undang-undang antarabangsa yang dilakukan.”
Wisma Putra menegaskan solidariti tidak berbelah bahagi Malaysia terhadap rakyat Palestin dan komitmen untuk terus memperjuangkan penamatan kekejaman Israel.
Tambah kenyataan itu, Malaysia juga menyeru penghapusan sekatan ke atas Gaza serta penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berasaskan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.















