Malaysia bakal mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pemain utama industri tenaga global apabila syarikat minyak dan gas nasional, PETRONAS, dijadual memulakan aktiviti carigali di Blok 9 dan Blok 10 di Turkmenistan seawal Disember ini.
Projek mega di Asia Tengah itu terletak berhampiran salah satu kawasan simpanan gas terbesar di dunia.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyifatkan perkembangan tersebut sebagai pencapaian luar biasa buat negara.
Keputusan kerajaan Turkmenistan memberikan hak penerokaan kepada PETRONAS membuktikan kepercayaan tinggi terhadap kredibiliti dan keupayaan syarikat milik penuh Malaysia itu.
"Ini merupakan satu berita yang sangat baik untuk Malaysia, terutamanya PETRONAS, kerana kita diberikan peluang mengendalikan telaga di antara kawasan gas terbesar di dunia. Dijangka mengikut kenyataan PETRONAS semalam, usaha menggali Blok 9 dan 10 akan bermula Disember ini juga," kata Anwar semasa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Beliau turut menjelaskan garis masa pelaksanaan projek ini adalah antara yang terpantas pernah direkodkan dalam industri.
Proses persediaan yang kebiasaannya memakan masa antara 18 bulan hingga dua tahun berjaya dipendekkan bagi membolehkan operasi bermula hujung tahun ini, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai antara pengendali sumber gas utama dunia.
Mengulas mengenai proses rundingan, Anwar menegaskan kejayaan projek strategik ini memerlukan komitmen diplomatik peringkat tertinggi.















