Konflik Asia Barat: 166 rakyat Filipina dijadual tiba di Manila Khamis

Jurucakap OWWA memaklumkan kumpulan tersebut telah bertolak dari Kuwait menuju ke Arab Saudi pada jam 3 pagi hari ini sebagai sebahagian daripada proses penghantaran pulang.

By
Rakyat Filipina turun dari pesawat sewaan khas kerajaan dari Dubai di Pangkalan Udara Villamor di Pasay, Metro Manila pada 19 Mac 2026. / AFP

Seramai 166 rakyat Filipina yang dibawa pulang dari Asia Barat kini dalam perjalanan pulang, menurut kenyataan Jabatan Kebajikan Pekerja Luar Negara (OWWA) pada Rabu.

The Philippine Inquirer melaporkan kumpulan pekerja luar negara Filipina (OFW) bersama tanggungan mereka itu dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Manila pada jam 11 pagi Khamis.

Jurucakap OWWA memaklumkan bahawa kumpulan tersebut telah bertolak dari Kuwait menuju ke Arab Saudi pada jam 3 pagi hari ini sebagai sebahagian daripada proses penghantaran pulang.

Ini merupakan kumpulan kelima rakyat Filipina yang dibawa keluar dari Kuwait, dengan lebih banyak penerbangan penghantaran pulang dijangka menyusul sepanjang minggu ini.

Kepulangan warga Filipina ini dicetuskan oleh ketegangan memuncak di rantau Asia Barat yang memaksa penghantaran pulang lebih 4,000 pekerja luar negara dan sekitar 900 warga Filipina yang bukan pekerja.

Langkah ini diambil demi menjamin keselamatan rakyat negara itu susulan konflik bersenjata yang melibatkan kuasa-kuasa besar di rantau berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Amerika Syarikat (AS) dan Iran dilaporkan telah bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata selama dua minggu.

Persetujuan itu dicapai selepas lebih sebulan siri serangan udara dilancarkan sejak 28 Februari lalu yang melibatkan pangkalan tentera AS dan wilayah-wilayah di Iran.

Sebaik tiba di Manila, rakyat FIlipina yang pulang akan diberikan bantuan menyeluruh merangkumi pemeriksaan kebajikan, makanan, penginapan sementara, serta bantuan perubatan dan kewangan.

Kerajaan Filipina melalui OWWA turut menyediakan program integrasi semula bagi membantu mereka memulakan kehidupan baharu di tanah air.