Tentera Thai dakwa lebih 250 dron Kemboja ceroboh ruang udara Thailand
Aktiviti dron dalam jumlah besar itu disifatkan sebagai provokatif dan berpotensi melanggar langkah gencatan yang dipersetujui di bawah kenyataan bersama susulan rundingan Jawatankuasa Sempadan Am (GBC).
Tentera Thailand mendakwa lebih 250 kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) milik Kemboja menceroboh ruang udara Thailand sepanjang malam, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap pematuhan gencatan senjata, lapor The Nation.
Jurucakap Tentera Darat Winthai Suvaree berkata perkara itu dilaporkan oleh Kawasan Tentera Kedua dalam taklimat di ibu pejabat Tentera Darat Diraja Thailand pada Isnin.
Menurutnya, pencerobohan berlaku pada malam 28 Disember, melibatkan kawasan Chong Bok dan Chong An Ma di Ubon Ratchathani, Khao Satta Som di Si Sa Ket serta Chong Sai Taku di Buri Ram.
Aktiviti dron dalam jumlah besar itu disifatkan sebagai provokatif dan berpotensi melanggar langkah gencatan yang dipersetujui di bawah kenyataan bersama susulan rundingan Jawatankuasa Sempadan Am (GBC).
Winthai berkata tindakan tersebut mencerminkan pendirian yang mahukan konfrontasi dan Thailand mungkin perlu mempertimbangkan langkah balas bagi melindungi nyawa serta harta penduduk.
Beliau turut memaklumkan bahawa pembebasan 18 tahanan perang mungkin perlu disemak semula berikutan tindakan Kemboja itu pada hari pertama pelaksanaan gencatan senjata.
Beliau berkata tempoh pemantauan kini menghampiri 48 jam dan pihak tentera akan terus memantau keadaan secara rapi.
Menjelang tamat tempoh pemantauan 72 jam pada tengah hari 30 Disember, beliau menegaskan penempatan anggota tentera Thailand kekal seperti sedia ada.
Sementara mematuhi kenyataan bersama, Thailand juga terus memperkukuh keselamatan di kawasan operasi, katanya.
Tentera Thailand turut berdepan masalah periuk api di beberapa kawasan yang telah dikuasainya, di mana mereka percaya banyak periuk api telah ditanam, sekali gus menyukarkan pergerakan dan operasi anggota di lapangan.