ASIA
2 min membaca
PM Anwar: Rakyat perlu siap sedia hadapi cabaran landskap tenaga global
Perdana Menteri mengingatkan bahawa dalam situasi yang serba mencabar ini, sikap leka harus diketepikan, sebaliknya disiplin dan semangat kebersamaan perlu diperkukuh sebagai benteng utama.
PM Anwar: Rakyat perlu siap sedia hadapi cabaran landskap tenaga global
Anwar menegaskan Malaysia tidak terkecuali daripada menerima impak krisis tenaga dunia yang kini semakin meruncing. / Facebook/Anwar Ibrahim
17 jam yang lepas

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa rakyat Malaysia agar lebih peka dan bersedia menghadapi fasa landskap tenaga global yang kian mencabar dan tidak menentu.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia tidak terkecuali daripada menerima impak krisis tenaga dunia yang kini semakin meruncing.

Dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) semalam, penelitian mendalam dibuat mengenai implikasi krisis tersebut terhadap ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri mengingatkan bahawa dalam situasi yang serba mencabar ini, sikap leka harus diketepikan, sebaliknya disiplin dan semangat kebersamaan perlu diperkukuh sebagai benteng utama.

“Dalam mengakui cabaran ini, saya ingin menegaskan bahawa asas ekonomi negara kekal kukuh dan berdaya tahan.

“Kerajaan MADANI akan terus bertindak secara proaktif berlandaskan data dan realiti semasa, termasuk mendapatkan pandangan pihak industri serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), agar setiap langkah yang diambil bersifat menyeluruh, berimbang dan berkesan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sebagai langkah pengukuhan, beliau mengajak seluruh rakyat untuk memberikan tumpuan kepada pemerkasaan ekonomi domestik.

Mengutamakan barangan tempatan dan menyokong usahawan dalam negara dilihat sebagai strategi kritikal bagi membina kekuatan dalaman, terutamanya dalam mendepani krisis tenaga global yang tercetus akibat konflik berterusan di Asia Barat.

Anwar turut menegaskan bahawa setiap keputusan yang diambil oleh kerajaan akan sentiasa berpaksikan tanggungjawab dan kepentingan rakyat.

Matlamat utama, katanya, adalah untuk memastikan kestabilan bekalan tenaga negara sentiasa terpelihara supaya fungsi ekonomi dapat berjalan dengan lancar tanpa menjejaskan kebajikan masyarakat.

“Insya-Allah, setiap keputusan akan terus berpaksikan tanggungjawab dan kepentingan rakyat. Kerajaan akan berikhtiar memastikan kestabilan bekalan tenaga terpelihara, ekonomi terus berfungsi dengan baik, serta kebajikan rakyat kekal menjadi keutamaan dalam setiap tindakan,” tambah Anwar.

SUMBER:TRT Global