Kerajaan akan memperincikan isu kenaikan harga barang dan kos sara hidup dalam mesyuarat Jemaah Menteri Rabu ini bagi mencari mekanisme lebih ampuh untuk meringankan beban rakyat.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan langkah itu perlu bagi meneliti semula keberkesanan usaha sedia ada di peringkat akar umbi.
Beliau mendedahkan bahawa walaupun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan, maklum balas secara langsung daripada peniaga kecil menunjukkan masih terdapat tekanan ekonomi yang membimbangkan akibat kenaikan harga bekalan secara beransur-ansur.
“Jumaat lalu saya makan di sebuah warung di Rawang, saya bertanya kakak yang mengendali kedai, dia kata setiap minggu ada kenaikan sedikit (harga bekalan). Kalau tiga minggu 'sedikit', ‘sedikit’ itu bertambah, lama-lama kedai kecil akan terkesan. Jadi hari Rabu ini, saya akan bawa kes ini ke mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.
Berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) hari ini, Anwar mengakui cabaran kos sara hidup adalah realiti yang tidak boleh dinafikan dan menuntut penyelesaian bijak, meskipun kerajaan berdepan kekangan untuk mengawal semua faktor pasaran secara total.
Beliau turut menyentuh mengenai kelestarian bantuan seperti program BUDI yang melibatkan kos tinggi namun tetap dipertahankan demi manfaat rakyat.
Namun, beliau menjelaskan bahawa tekanan fiskal yang besar memaksa kerajaan mengambil tindakan lebih tegas, terutamanya yang melibatkan subsidi bahan api.
“Pada Januari, subsidi RON95 yang kita tampung adalah RM700 juta, namun dalam tempoh beberapa bulan sahaja ia melonjak ke RM5 bilion sebulan. KSP (Ketua Setiausaha Perbendaharaan) dan KSN (Ketua Setiausaha Negara) memaklumkan dana sedia ada tidak mampu menampung kenaikan itu secara berterusan. Sebab itu kita usahakan penyelarasan subsidi diesel kerana berlaku banyak kebocoran dan ketirisan,” jelas beliau.













