ASIA
2 min membaca
Malaysia teguh prinsip Palestin meskipun Trump hadir sidang ASEAN
Kedatangan Trump ke Malaysia bukan atas jemputan Perdana Menteri, tetapi sebahagian daripada tugas rasmi Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, menurut Reezal Merican Naina Merican.
Malaysia teguh prinsip Palestin meskipun Trump hadir sidang ASEAN
Reezal Merican Naina Merican menyatakan Malaysia kekal teguh berkenaan isu Palestin. Foto: Facebook Reezal Merican Naina Merican. / Facebook
3 Oktober 2025

KUALA LUMPUR — Kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 Oktober ini tidak bermaksud Malaysia berbelah bahagi atau melunakkan prinsipnya dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

Menurut Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Reezal Merican Naina Merican, kemunculan pemimpin AS itu justeru membuka ruang diplomatik yang signifikan untuk Malaysia menyampaikan pendiriannya secara lantang dan jelas di pentas ASEAN, tanpa sebarang kekangan.

Menurut Reezal dalam catatan beliau melalui Facebook, Malaysia sentiasa teguh dan konsisten di pentas antarabangsa nerkenaan isu Palestin. "Selagi ketidakadilan berterusan, Malaysia akan terus lantang bersuara, termasuk di hadapan kuasa besar dunia.”

Beliau menegaskan bahawa Malaysia tetap berpendirian jelas - menolak segala bentuk penindasan terhadap rakyat Palestin dan menyokong penuh hak mereka untuk merdeka serta berdaulat.

Reezal Merican turut memaklumkan, "Kunjungan Presiden Donald Trump ke Malaysia ini bukanlah atas jemputan Perdana Menteri Anwar Ibrahim atau rakyat Malaysia, tetapi adalah sebahagian daripada tugas rasmi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN" .

Tindakan Malaysia menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi ASEAN untuk menyampaikan mesej yang jelas mengenai Palestin kepada pemimpin dunia dilihat selari dengan pendekatan perdana menteri yang sebelum ini menyatakan bahawa Malaysia akan menggunakan platform diplomatik untuk terus memperjuangkan isu Palestin, dengan pendirian yang tegas tetapi secara strategik .

Malaysia bakal mengalu-alukan ketibaan Presiden Trump serta beberapa pemimpin dunia dari Asia, Eropah, Kanada, Afrika dan Amerika Latin yang dijangka menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.

SUMBER:TRT World & Agencies