Perdagangan sempadan Thailand susut 22.2% akibat isu Kemboja–Myanmar
Malaysia kekal sebagai rakan dagang utama pada 26.71 bilion baht (naik 4.7%), diikuti Laos 23.95 bilion baht, Myanmar 9.40 bilion baht dan Kemboja hanya 11 juta baht.
Nilai perdagangan sempadan dan rentas sempadan Thailand bagi September 2025 mencatatkan 141.69 bilion baht, menurun 4.7% berbanding tempoh sama tahun lalu, menurut Ketua Pengarah Jabatan Perdagangan Luar Arada Fuangtong, lapor The Nation.
Katanya jumlah eksport bernilai 74.94 bilion baht, susut 12.4%, manakala import meningkat 5.9% kepada 66.75 bilion baht.
Thailand masih merekodkan lebihan dagangan 8.19 bilion baht pada bulan yang sama, menjadikan jumlah keseluruhan sembilan bulan pertama 2025 kepada 1.48 trilion baht, meningkat 7.7%.
Eksport pula naik 5.4% kepada 838.47 bilion baht, manakala import melonjak 10.8% kepada 641.62 bilion baht.
Bagaimanapun, perdagangan sempadan menyusut dengan ketara lima bulan berturut-turut iaitu pada kadar 22.2%.
Perdagangan Thailand–Kemboja jatuh 99.9% ekoran kawalan ketat di pintu masuk dan sekatan pengangkutan, meskipun ketegangan sempadan kini mulai reda.
Sementara itu, perdagangan Thailand–Myanmar merosot 39%, dipengaruhi kawalan eksport bahan api dan barangan berkaitan seperti penjana, panel solar, bateri serta peralatan komunikasi.
Sekatan import oleh Myanmar turut menyebabkan eksport diesel dan minyak ditapis jatuh dengan masing-masing pada kadar 70.1% dan 75.6%.
Secara keseluruhan, perdagangan dengan negara jiran berjumlah 60.08 bilion baht, menurun 22.2%, dengan eksport 35.59 bilion baht dan import 24.49 bilion baht.
Malaysia kekal sebagai rakan dagang utama pada 26.71 bilion baht (naik 4.7%), diikuti Laos 23.95 bilion baht, Myanmar 9.40 bilion baht dan Kemboja hanya 11 juta baht.
Bagi perdagangan rentas sempadan ke negara ketiga, nilai dagangan meningkat 14.2% kepada 81.62 bilion baht.
China kekal sebagai peneraju dengan 43.18 bilion baht, diikuti Singapura 14.77 bilion baht dan Vietnam 7.68 bilion baht, disokong peningkatan eksport cakera keras, telefon, serta produk getah.