Menteri Kewangan haluan kanan ekstrem Israel Bezalel Smotrich menuntut permohonan maaf daripada Canselor Jerman Friedrich Merz selepas pemimpin itu memberi amaran terhadap apa yang disifatkannya sebagai "pengilhakan de facto" di Tebing Barat yang diduduki.
Merz berkata pada Isnin bahawa beliau "amat prihatin terhadap perkembangan di Palestin" dan semasa panggilan telefon dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, menekankan bahawa "pengilhakan de facto di Tebing Barat tidak sepatutnya berlaku".
Sebagai tindak balas, Smotrich mengeluarkan kenyataan dengan kata-kata tajam, sambil membangkitkan Hari Peringatan Holocaust untuk membidas Berlin. Beliau berkata pemimpin Jerman itu sepatutnya "menundukkan kepala dan memohon maaf seribu kali" daripada "berani memberi ceramah moral", serta menolak apa yang disifatkannya sebagai "arahan" Eropah kepada Israel.
Menteri tersebut, yang dikenali dengan pendirian pelampau mengenai tanah Palestin, merangka dasar Israel sebagai kesinambungan kepada "kepulangan" bersejarah ke tempat yang dipanggilnya sebagai tanah air alkitabiah, sambil menyifatkan kritikan antarabangsa sebagai satu bentuk hipokrasi.
Kenyataan beliau dibuat di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat terhadap tindakan Israel di Tebing Barat yang diduduki, di mana kumpulan hak asasi dan pemerhati antarabangsa memberi amaran tentang perluasan penempatan yang semakin rancak, rampasan tanah, dan peningkatan keganasan oleh pendatang haram terhadap rakyat Palestin.
Penjajahan haram semakin sengit
Menurut beberapa laporan, pihak berkuasa Israel telah memperluaskan pos penempatannya, merampas tanah milik rakyat Palestin dan memperketat kawalan ketenteraan ke atas sebahagian besar wilayah tersebut.
Komuniti Palestin kini berhadapan dengan aktiviti yang merobohkan rumah mereka, selain dipaksa berpindan dan pergerakan mereka turut disekat, manakala serangan oleh penduduk haram, kebiasaannya dilindung tentera Israel, telah meningkat dengan ketara dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Masyarakat antarabangsa secara amnya menganggap penempatan Israel di Tebing Barat sebagai haram di bawah undang-undang antarabangsa, satu pendirian yang berulang kali ditegaskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Tindakan berbalas kritikan terbaharu ini menonjolkan ketegangan yang semakin mendalam antara Israel dan kerajaan-kerajaan di Eropah, ketika semakin ramai pihak yang menuntut akauntabiliti terhadap dasar yang dilihat mengukuhkan pendudukan dan menjejaskan prospek keamanan yang adil bagi rakyat Palestin.
















