Empat syarikat komunikasi Singapura disasar kumpulan risikan siber UNC3886 pada 2025
Siasatan mendapati penyerang memperoleh sejumlah kecil data teknikal dan sempat mengakses beberapa sistem, namun tidak cukup untuk mengganggu perkhidmatan telekomunikasi.
Keempat-empat syarikat telekomunikasi utama Singapura diserang kumpulan risikan siber UNC3886 pada 2025, namun pihak berkuasa mengesahkan tiada data sensitif diakses atau diambil, dan sistem kritikal seperti teras 5G tidak terjejas, lapor The Straits Times.
Menteri Pembangunan Digital dan Maklumat Josephine Teo mendedahkan bahawa sasaran serangan ialah Singtel, StarHub, M1 dan Simba Telecom.
Beliau menyifatkan operasi itu sebagai tindakan yang disengajakan, terancang dan bersasar.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa menghadiri majlis menghargai pembela siber di Cyber Security Agency of Singapore (CSA) di Daerah Digital Punggol.
Siasatan mendapati penyerang memperoleh sejumlah kecil data teknikal dan sempat mengakses beberapa sistem, namun tidak cukup untuk mengganggu perkhidmatan telekomunikasi.
Infocomm Media Development Authority dan CSA memaklumkan sistem paling sensitif, termasuk rangkaian 5G, diasingkan dan tidak dikompromi.
Teo menegaskan ancaman itu tidak boleh dipandang ringan kerana keupayaan pengintipan dan potensi gangguan berskala besar boleh menjejaskan perkhidmatan penting seperti perbankan, pengangkutan dan kesihatan, sekali gus menghakis keyakinan terhadap Singapura sebagai hab kewangan dan logistik antarabangsa.
UNC3886 dikenal pasti pada 2022 oleh firma keselamatan siber Mandiant sebagai kumpulan yang ada kaitan dengan China.
Kedutaan China bagaimanapun menafikan penglibatan negara itu dan menyatakan Beijing menentang semua bentuk serangan siber.
Singapura turut melancarkan tindak balas bersepadu terbesar setakat ini, dikenali sebagai Operasi Cyber Guardian, melibatkan lebih 100 pembela siber merentasi enam agensi.
Dalam kenyataan bersama, keempat-empat syarikat telekomunikasi itu berkata mereka mengamalkan sistem pertahanan yang mempunyai beberapa lapisan, memperkukuh pengesanan, menambah baik reka bentuk rangkaian dan bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi meningkatkan daya tahan sistem.
“Perlindungan infrastruktur kritikal ialah keutamaan kami, dan kami akan terus menyesuaikan diri dengan landskap ancaman siber yang semakin canggih,” kata mereka.