ASIA
2 min membaca
Kandungan hina Institusi Diraja: Malaysia keluarkan Tuntutan Statutori terhadap TikTok
Ini termasuk penyebaran video yang dijana menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta imej manipulasi menerusi akaun palsu yang dikaitkan dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Kandungan hina Institusi Diraja: Malaysia keluarkan Tuntutan Statutori terhadap TikTok
SKMM menyifatkan respons serta komitmen yang diberikan oleh pengurusan TikTok sebagai tidak memuaskan. (FAIL) / Reuters

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengeluarkan Tuntutan Statutori terhadap platform media sosial TikTok, susulan kegagalannya mengambil tindakan sewajarnya bagi menyekat dan menurunkan kandungan yang menghina Institusi Diraja Malaysia.

Tindakan tegas itu diambil selepas platform berkenaan dikesan membiarkan penyebaran kandungan bersifat jelek melampau, palsu dan berunsur ancaman.

Ini termasuk penyebaran video yang dijana menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta imej manipulasi menerusi akaun palsu yang dikaitkan dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

“SKMM memandang serius sebarang penyalahgunaan platform dalam talian untuk menyebarkan kandungan jelek melampau, palsu, berunsur ancaman atau yang boleh menjejaskan ketenteraman awam, khususnya apabila melibatkan institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu,” tegas suruhanjaya itu dalam satu kenyataan rasmi.

Menurut SKMM, penyebaran kandungan tersebut berada dalam konteks isu sensitif 3R (kaum, agama dan institusi diraja) yang berpotensi melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

Pihak suruhanjaya menyifatkan respons serta komitmen yang diberikan oleh pengurusan TikTok sebagai tidak memuaskan, meskipun sesi libat urus dan makluman telah diberikan sebelum ini.

Melalui tuntutan tersebut, TikTok kini dikehendaki mengambil langkah pembetulan segera bagi memperkukuh mekanisme pemantauan kandungan mereka.

Platform video pendek itu juga diarahkan untuk mengemukakan penjelasan rasmi berhubung kegagalan menyekat penularan bahan yang memudaratkan keharmonian negara.

SKMM turut menegaskan bahawa ia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kawal selia dan perundangan yang lebih keras bagi memastikan semua pengendalian platform digital yang beroperasi di Malaysia mematuhi undang-undang domestik demi keselamatan ekosistem dalam talian.

SUMBER:Reuters