Malaysia menerima Global Zero Waste Special Citation Award sebagai pengiktirafan terhadap komitmen negara dalam memperkukuh prinsip ekonomi kitaran dan pengurusan sisa lestari di peringkat global, lapor The Star.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata pengiktirafan itu mencerminkan usaha berterusan Malaysia dalam mentransformasikan pengurusan sisa di kawasan bandar, memperkukuh kesedaran alam sekitar serta memacu inovasi ke arah bandar mampan.
“Saya berikrar untuk membentuk kerjasama tulus dan bermakna dengan Yayasan Sifar Sisa seperti yang dimandatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Bersama-sama, kita akan mengangkat prinsip penting ini di pentas global — di PBB, rantau Asia-Pasifik dan ASEAN,” katanya semasa menerima anugerah itu.
Anugerah disampaikan oleh Wanita Pertama Türkiye Emine Erdoğan yang juga penaung Yayasan Sifar Sisa semasa Forum Global Zero Waste 2025 pada Ahad.
Nga turut menegaskan bahawa pengiktirafan itu menyerlahkan kepentingan tindakan pelbagai hala dan komitmen global terhadap amalan mampan berasaskan kitar semula dan guna semula.
Malaysia menerima pengiktirafan tertinggi antara empat kategori utama — Penyelidikan dan Reka Bentuk Inovatif, Projek Sifar Sisa dan Amalan Sifar Sisa — sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai peneraju dalam penyelesaian sifar sisa di bawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Antara inisiatif utama Malaysia termasuk pelancaran Circular Economy Blueprint 2025–2035, pembangunan pusat kitar semula, program Trash to Cash, serta transformasi tapak pelupusan lama menjadi Lestari Parks.
Kempen tahunan Hari Cuci Malaysia yang menghimpunkan lebih 100,000 sukarelawan turut memperkukuh budaya tanggungjawab bersama dalam menjaga kebersihan bumi.













