Wakil Perdagangan Amerika Syarikat Jamieson Greer memuji kepimpinan Malaysia selaku pengerusi Asean tahun ini, menurut laporan Bernama.
Bercakap kepada media selepas mengetuai rundingan antara Amerika Syarikat dan Menteri Ekonomi Asean (AEM), beliau menyanjung kepimpinan serta layanan mesra Malaysia dalam mengemudi blok serantau itu sepanjang mesyuarat tahun ini.
“Kami amat berpuas hati dengan layanan yang diberikan. Malaysia telah menunjukkan kepimpinan yang cemerlang sebagai pengerusi Asean,” katanya di luar Mesyuarat AEM ke-57 pada Rabu.
Ini merupakan kali kelima Malaysia memegang jawatan pengerusi Asean selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015. Dalam ucapan pembukaannya, Greer turut merakamkan penghargaan kepada pengerusi AEM, Zafrul Abdul Aziz atas pragmatisme dan kepimpinannya yang stabil.
“Asean amat beruntung disebabkan kepimpinan Malaysia, khususnya Menteri Zafrul. Saya berbesar hati berada di Kuala Lumpur mewakili Amerika Syarikat,” kata Greer.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata Asean dan Amerika Syarikat telah mengadakan perbincangan yang membina serta produktif mengenai perdagangan dan pelaburan, sambil menegaskan rantau ini menantikan kesinambungan kerjasama dengan Washington.
Pada 9 September lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan Presiden AS Donald Trump akan melawat Malaysia bulan depan bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-47.
















