Thai-MECC nafi tutup perairan Teluk Thailand kepada kapal asing

Laksamana Thadavuth Thadpithakkul berkata agensi itu hanya melarang kapal dan bot nelayan Thailand daripada memasuki perairan wilayah Kemboja kerana kawasan berkenaan dianggap berbahaya untuk keselamatan bot Thailand.

By
Pertempuran antara Thailand dan Kemboja di kawasan sempadan kedua-dua negara masih berterusan. / Reuters

Pusat Pemerintahan Penguatkuasaan Maritim Thailand (Thai-MECC) menafikan laporan bahawa laluan laut di Teluk Thailand telah ditutup kepada kapal asing, sambil menegaskan langkah keselamatan yang diambil hanya melibatkan kapal milik Thailand, lapor The Nation.

Ketua Staf Tentera Laut Diraja Thailand Laksamana Thadavuth Thadpithakkul, yang juga merupakan Setiausaha Agung Thai-MECC, berkata agensi itu hanya melarang kapal dan bot nelayan Thailand daripada memasuki perairan wilayah Kemboja kerana kawasan berkenaan dianggap berbahaya untuk keselamatan bot Thailand.

Menurut beliau, langkah itu turut bertujuan menghalang kapal milik Thailand daripada disalahgunakan untuk menyeludup minyak dan senjata ke Kemboja, yang berpotensi digunakan dalam konflik menentang Thailand.

Thadavuth berkata demikian kepada media sebelum menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (NSC), di mana beliau dijangka memohon kelulusan untuk memperketat langkah bagi membanteras penyeludupan minyak dan senjata ke Kemboja.

Beliau menjelaskan tindakan tersebut hanya dikuatkuasakan terhadap laluan perkapalan milik warga Thailand, dan setakat ini Thai-MECC masih belum mengesahkan laporan bahawa kapal Thailand membawa minyak dari negara ketiga ke Kemboja.

“Saya ingin menegaskan bahawa kami tidak menutup Teluk Thailand seperti yang dilaporkan sebelum ini. Kami hanya mengambil langkah bagi memastikan keselamatan serta keberkesanan operasi,” katanya.

Beliau menambah tempoh penguatkuasaan langkah berkenaan bergantung kepada perkembangan situasi, dan penjelasan lanjut akan dibuat selepas mesyuarat NSC selesai.