Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempelawa syarikat-syarikat terkemuka Jepun untuk mempertingkatkan pelaburan mereka, khususnya dalam sektor kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan teknologi masa hadapan.
Menurut beliau, Malaysia komited untuk terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelaburan strategik utama di rantau Asia Tenggara.
Pada Selasa, beliau mengadakan perbincangan dengan enam peneraju industri global dari Jepun, termasuk IBM Corporation, Mitsubishi Corporation, ENEOS Corporation, Shizen Energy Inc., DENSO Corporation dan Marubeni Corporation.
Sektor-sektor itu dinilai sebagai sangat kritikal dalam memperkasakan ekosistem berteknologi tinggi negara serta mendepani krisis rantaian bekalan dunia.
"Fokus kita adalah untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti, memperkasa ekosistem berteknologi tinggi negara, mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat serta memperkukuh hubungan ekonomi Malaysia-Jepun yang telah terjalin sejak sekian lama," kata Perdana Menteri menerusi satu kenyataan.
Selain pertemuan tersebut, Anwar turut membentangkan hala tuju ekonomi Malaysia dalam sesi dialog perniagaan bersama 29 pemimpin konglomerat utama Jepun yang dianjurkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Dialog itu melibatkan gergasi industri daripada sektor perbankan, kewangan, semikonduktor dan tenaga boleh baharu.
Beliau menegaskan bahawa landskap ekonomi antarabangsa kini sedang berubah dengan pantas ekoran krisis bekalan global.
Oleh itu, negara yang berjaya menarik pelaburan strategik akan berada pada kedudukan yang jauh lebih kukuh dalam menghadapi cabaran masa depan.
"Insha-Allah, Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh ekosistem pelaburan negara melalui dasar yang jelas dan konsisten agar lebih banyak pelaburan berkualiti dapat dibawa masuk ke sektor-sektor strategik negara, sekali gus memperkukuh ekonomi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat," tambah beliau lagi.












