Empat anggota keluarga Bay terlibat sindiket penipuan Myanmar dijatuhkan hukuman mati di China

Sindiket itu terbabit dalam penipuan telekomunikasi, operasi kasino, penculikan, peras ugut, pembunuhan, serta pelacuran secara paksa.

By
Nilai dana berkaitan aktiviti perjudian dan penipuan mencecah lebih 29 bilion yuan (AS$4.1 bilion). (FAIL) / AP

China telah melaksanakan hukuman mati ke atas empat anggota sindiket yang dikendalikan keluarga Bay yang beroperasi di utara Myanmar, selepas hukuman tersebut mendapat kelulusan mahkamah tertinggi negara itu, menurut pengumuman rasmi pada Isnin.

Kenyataan menerusi akaun WeChat Mahkamah Rakyat Tertinggi China memaklumkan hukuman itu dilaksanakan oleh Mahkamah Rakyat Perantara Shenzhen, susulan sabitan pelbagai kesalahan termasuk pembunuhan dengan niat, mencederakan dengan niat dan penipuan.

China Daily melaporkan, tertuduh turut diberi peluang bertemu ahli keluarga sebelum pelaksanaan hukuman, selaras dengan peruntukan undang-undang.

Dalam penghakiman asal pada November lalu, lima individu dijatuhkan hukuman mati.

Bagaimanapun, seorang daripada mereka, Bay Saw Chain, meninggal dunia akibat sakit, manakala empat yang lain mengemukakan rayuan.

Rayuan itu bagaimanapun ditolak oleh Mahkamah Tinggi Rakyat Guangdong pada Disember, yang mengekalkan keputusan asal.

Mahkamah menjelaskan bahawa kumpulan yang diketuai Bay Yin Chin itu membina beberapa kompleks di Kokang, selain menarik pembiaya serta menyediakan perlindungan bersenjata.

Sindiket itu terbabit dalam penipuan telekomunikasi, operasi kasino, penculikan, peras ugut, pembunuhan, serta pelacuran secara paksa.

Menurut kenyataan berkenaan, nilai dana berkaitan aktiviti perjudian dan penipuan mencecah lebih 29 bilion yuan (AS$4.1 bilion), mengakibatkan enam warga China maut dan beberapa yang lain cedera.

Bay Yin Chin juga didapati bersekongkol menyeludup dan menghasilkan kira-kira 11 tan metrik methamphetamine.

Mahkamah menegaskan kesalahan dilakukan adalah amat kejam dengan keadaan dan akibat yang sangat serius, justeru wajar dikenakan hukuman berat.

Ia menyokong penghakiman asal kerana fakta jelas, bukti yang cukup, sabitan yang tepat, hukuman setimpal serta prosedur undang-undang dipatuhi, sekali gus meluluskan pelaksanaan hukuman mati tersebut.