ASIA
2 min membaca
27 warga Singapura, 7 rakyat Malaysia diburu susulan sindiket penipuan di Kemboja
Mereka dipercayai mempunyai kaitan dengan 15 suspek yang didakwa pada September lalu kerana terlibat dengan kumpulan jenayah terancang yang menyamar sebagai pegawai kerajaan bagi menipu mangsa di Singapura.
27 warga Singapura, 7 rakyat Malaysia diburu susulan sindiket penipuan di Kemboja
(FAIL) Menurut kenyataan SPF pada 29 Oktober, kesemua 34 individu kini berada di luar negara. / AP
30 Oktober 2025

Polis Republik Singapura (SPF) mengeluarkan waran tangkap terhadap 27 warga Singapura dan tujuh rakyat Malaysia yang disyaki terlibat dengan sindiket penipuan beroperasi di Kemboja, lapor The Straits Times.

Menurut kenyataan SPF pada 29 Oktober, kesemua 34 individu tersebut kini berada di luar negara.

Polis Singapura sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa antarabangsa untuk mengesan dan menahan mereka.

Mereka dipercayai mempunyai kaitan dengan 15 suspek yang didakwa pada September lalu kerana terlibat dengan kumpulan jenayah terancang yang menyamar sebagai pegawai kerajaan bagi menipu mangsa di Singapura.

Operasi bersama antara polis Singapura dan polis Kemboja pada 9 September lalu berjaya menumpaskan kumpulan itu yang dipercayai menjalankan kegiatan dari sebuah kompleks di Phnom Penh, dengan anggaran kerugian sekurang-kurangnya S$41 juta melibatkan 438 kes.

Daripada operasi tersebut, 15 suspek termasuk 12 warga Singapura, dua rakyat Malaysia dan seorang warga Filipina telah ditahan di Singapura dan didakwa pada 11 dan 12 September.

Siasatan lanjut membawa kepada penemuan 34 lagi individu — 27 warga Singapura dan tujuh rakyat Malaysia — yang dipercayai turut beroperasi dari kompleks yang sama.

SPF kini bekerjasama dengan pihak Interpol untuk mengeluarkan Notis Merah terhadap mereka.

Polis menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dalam memburu penjenayah yang menjadikan Singapura sebagai sasaran, serta menyeru orang ramai menyalurkan maklumat di laman web rasmi polis.