Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim membangkitkan nasib 55 rakyat Malaysia yang masih belum ditemui susulan bencana di Nepal bulan lalu dalam perbualan telefon dengan Perdana Menteri negara itu, Balendra Shah, sebelum berlepas ke China.
“Dalam perbualan ini, saya menyampaikan keresahan dan harapan keluarga 55 rakyat Malaysia yang masih menantikan kepastian mengenai nasib insan tersayang,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Anwar turut menyampaikan simpati kepada rakyat Nepal serta penghargaan kepada pihak berkuasa dan pasukan penyelamat.
Menurut Anwar, Shah menjelaskan keadaan di lapangan masih rumit, dengan skala bencana dan kemusnahan disifatkan seumpama tsunami.
Pemimpin Nepal itu memberi jaminan usaha pencarian akan diteruskan sedaya upaya meskipun keadaan semakin mencabar.
Anwar turut mencadangkan mekanisme rasmi sekiranya mangsa tidak ditemukan dan pencarian gagal memberikan kepastian.
“Langkah ini penting bagi membantu keluarga yang terkesan menguruskan perkara berkaitan undang-undang, kewangan dan pentadbiran. Saya akan mengutus surat rasmi kepada PM Shah bagi memperincikan cadangan ini,” katanya.
Kedua-dua pemimpin juga membincangkan pengambilan pekerja Nepal ke Malaysia, khususnya peranan ejen.
“Kami senada bahawa proses ini mesti dibersihkan daripada sebarang bentuk eksploitasi dan pengenaan bayaran tidak munasabah yang hanya menguntungkan pihak tertentu,” kata Anwar.
Menteri Sumber Manusia Malaysia dan rakan sejawatnya di Nepal akan segera berbincang bagi mencari penyelesaian terhadap isu pengambilan pekerja, dengan penekanan diberikan kepada sistem yang telus, kompetitif serta melindungi hak dan kebajikan pekerja.























