Pelan eksport parti Bhumjaithai: Kurangkan kebergantungan AS–China
Menteri Perdagangan Thai Suphajee Suthumpun berkata eksport Thailand berdepan risiko akibat kebergantungan tinggi kepada dua negara itu yang menyumbang kira-kira satu pertiga daripada nilai eksport keseluruhan.
Parti Bhumjaithai menggariskan dasar eksport bagi mengurangkan kebergantungan Thailand dengan pasaran tradisional, khususnya Amerika Syarikat dan China, sambil memperkukuh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar mampu bersaing di peringkat global, lapor The Nation.
Menteri Perdagangan Thai Suphajee Suthumpun berkata eksport Thailand berdepan risiko akibat kebergantungan tinggi kepada dua negara itu yang menyumbang kira-kira satu pertiga daripada nilai eksport keseluruhan.
Beliau menegaskan keperluan mempercepat penembusan pasaran baharu, mengurangkan tumpuan mengikut pasaran, pengeksport dan kategori produk, di samping menaik taraf PKS serta mempromosikan jenama buatan Thailand.
Menurutnya, eksport kekal sebagai enjin utama ekonomi dan perlu dipacu secara lebih strategik oleh kerajaan seterusnya.
Thailand, katanya, tidak boleh terus “meletakkan” eksport di negara yang saling berkonflik kerana ia meningkatkan risiko, sekali gus menuntut pencarian pasaran alternatif.
Suphajee turut menolak dakwaan beliau memandang rendah sektor eksport, sebaliknya menegaskan Thailand boleh melakukan lebih baik.
Isu tumpuan pertama, katanya, melibatkan pengeksport — daripada kira-kira 30,000 pengeksport berdaftar, hanya 7,000 hingga 8,000 pengeksport besar menguasai 74% nilai eksport, manakala selebihnya adalah PKS yang perlu diperkasa melalui kemahiran, pembiayaan dan akses pasaran.
Isu kedua ialah berkaitan produk. Beliau berkata eksport Thailand pada 2025 bernilai 11.1 trilion baht, manakala import 11.4 trilion baht, dengan kedua-duanya tertumpu pada kumpulan barangan sama seperti mesin, peralatan komputer dan alat ganti automotif, menjadikan Thailand berada di tengah-tengah rantaian bekalan.
Penyelesaiannya, katanya, ialah dengan mempelbagaikan produk eksport agar tidak bertindih dengan import.
Beliau menegaskan pasaran tradisional perlu dikekalkan dan diurus secara strategik melalui penyelarasan keselamatan, diplomasi dan perdagangan, sementara pasaran baharu diperkembangkan dengan lebih agresif.
Keutamaan, katanya, ialah mempromosikan barangan buatan Thailand, membanteras penipuan asal barangan, mengekang ketidakpatuhan peraturan, mengembangkan produk agro-proses dan memastikan petani menikmati pendapatan lebih tinggi.