ASIA
2 min membaca
Momentum pembuatan Malaysia kekal teguh, unjuran pertumbuhan 2026 dinaikkan
Penganalisis ekonomi menyuarakan keyakinan terhadap Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) negara yang berkembang 3.1 peratus, sekali gus mendorong semakan menaik terhadap unjuran pertumbuhan bagi tahun 2026.
Momentum pembuatan Malaysia kekal teguh, unjuran pertumbuhan 2026 dinaikkan
Peningkatan ini dipacu oleh aktiviti pengeluaran yang lebih kukuh daripada jangkaan pada suku pertama 2026. (FAIL) / Reuters

Sektor pembuatan Malaysia terus mempamerkan prestasi memberangsangkan walaupun berdepan kelembapan dalam pengeluaran sektor perlombongan, menurut laporan New Straits Times.

Penganalisis ekonomi menyuarakan keyakinan terhadap Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) negara yang berkembang 3.1 peratus, sekali gus mendorong semakan menaik terhadap unjuran pertumbuhan bagi tahun 2026.

Kenanga Research menaikkan ramalan pertumbuhan IPP pembuatan kepada 4.3 peratus daripada jangkaan awal 3.5 peratus.

Peningkatan ini dipacu oleh aktiviti pengeluaran yang lebih kukuh daripada jangkaan pada suku pertama 2026, yang mana pengilang kini giat menambah stok simpanan bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan bahan mentah akibat krisis di Timur Tengah.

Momentum positif ini turut disokong oleh Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan yang melonjak ke paras 51.6 pada April lalu—tahap tertinggi dalam tempoh empat tahun.

Menurut penganalisis, prestasi teguh pada separuh pertama tahun ini dijangka mampu mengimbangi potensi kelembapan pada separuh kedua sekiranya ketegangan geopolitik dan turun naik harga komoditi dunia semakin meruncing.

Hong Leong Investment Bank (HLIB) dalam nota penyelidikannya turut senada, menyatakan bahawa aktiviti pembuatan global bertambah baik didorong oleh tempahan baharu.

Walaupun risiko rantaian bekalan masih menghantui pengeluaran berasaskan komoditi, sektor elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia terus mendapat sokongan padu daripada kitaran teknologi global yang kini sedang meningkat.

"Kami menjangkakan pertumbuhan akan mengukuh pada suku kedua sebanyak 5.3 peratus, disokong oleh pengumpulan inventori dan aktiviti perkhidmatan yang lebih rancak sempena Tahun Melawat Malaysia 2026," lapor Kenanga Research.

Walaupun unjuran jangka pendek dilihat cerah, pakar ekonomi mengingatkan bahawa pertumbuhan mungkin akan sedikit perlahan menjelang akhir tahun 2026.

Faktor seperti kesan asas tinggi dari tahun sebelumnya dan konflik global yang terus belarutan kekal menjadi pemboleh ubah utama yang perlu diperhatikan oleh pemain industri dan pelabur.