DUNIA
4 min membaca
Lebih 30 maut dalam rempuhan di festival keagamaan terbesar dunia di India
Menurut pihak polis, 60 orang turut tercedera dan telah dikejarkan ke hospital.
00:00
Lebih 30 maut dalam rempuhan di festival keagamaan terbesar dunia di India
Photo caption: Hampir 150 juta orang menghadiri festival itu, termasuk Menteri Pertahanan Rajnath Singh, Menteri Dalam Negeri Amit Shah serta selebriti seperti vokalis Coldplay, Chris Martin. / Foto: AP / AP

Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh manakala puluhan lagi cedera dalam insiden rempuhan di perhimpunan keagamaan terbesar dunia pada awal pagi Rabu. 

Menurut pihak polis, tragedi rempuhan itu berlaku ketika jutaan penganut agama hindu berebut untuk mandi air suci sempena festival Maha Kumbh di utara India.

Pegawai polis Vaibhav Krishna di bandar Prayagraj berkata 60 orang yang cedera telah dikejarkan ke hospital.

Hari Rabu merupakan hari suci dalam festival Hindu ini yang berlangsung selama enam minggu, dan pihak berkuasa menjangkakan 100 juta penziarah akan melakukan mandi ritual di pertemuan tiga sungai suci – Ganges, Yamuna dan Saraswati.

Rempuhan berlaku apabila para penziarah cuba melompat pagar penghadang yang didirikan untuk satu perarakan, menurut pegawai tertinggi negeri Uttar Pradesh, Yogi Adityanath, dalam satu kenyataan.

Tarikan utama festival ini ialah ribuan penganut Hindu yang menyapu abu di badan mereka dan berarak dalam perarakan besar menuju ke muara sungai untuk mandi suci.

Pihak berkuasa India mengambil masa lebih 16 jam untuk mengumumkan angka korban, walaupun Perdana Menteri Narendra Modi telah mengakui terdapat kehilangan nyawa, menyifatkan insiden itu sebagai “amat menyedihkan” dan mengucapkan takziah.

“Tiba-tiba berlaku tolak-menolak dengan orang ramai, dan kami terperangkap. Ramai di antara kami terjatuh dan keadaan menjadi tidak terkawal,” kata seorang penziarah, Sarojini, seperti dipetik agensi berita Press Trust of India. “Tidak ada peluang untuk melarikan diri, ada tolakan dari semua arah,” tambahnya.

Ahli keluarga mengsa beratur di luar hospital sementara yang dibina di lokasi festival, kelihatan terdesak untuk mendapatkan maklumat tentang ahli keluarga mereka yang hilang. Pakaian, selimut dan beg galas berselerakan di kawasan rempuhan.

Walaupun terdapat rempuhan, jutaan penganut Hindu terus membanjiri tapak ziarah seluas 4,000 hektar (15 batu persegi) itu, walaupun pihak polis menggunakan pembesar suara untuk menggesa mereka beredar dari muara sungai. Adityanath menggesa orang ramai untuk menjalankan mandi suci di tebing sungai lain sebagai alternatif.

“Keadaan kini terkawal, tetapi jumlah penziarah masih sangat besar,” kata Adityanath, sambil menambah bahawa antara 90 juta hingga 100 juta jemaah telah berada di tapak festival.

Menurut beliau, kira-kira 30 juta orang telah membuat upacara mandi suci sejam jam 8 pagi pada Rabu.

Festival Maha Kumbh, yang diadakan setiap 12 tahun, bermula pada 13 Januari. Pihak berkuasa menjangkakan lebih 400 juta orang akan mengunjungi tapak ziarah sepanjang festival ini berlangsung. Hampir 150 juta orang telah menghadiri festival setakat ini, termasuk Menteri Pertahanan Rajnath Singh, Menteri Dalam Negeri Amit Shah serta selebriti seperti vokalis Coldplay, Chris Martin.

Bagi menampung jumlah pengunjung yang besar, sejumlah besar khemah dipasang di tebing sungai dengan infrastruktur lengkap termasuk jalan raya, bekalan elektrik dan air, 3,000 dapur, serta 11 hospital.

Lebih 50,000 anggota keselamatan ditempatkan di kawasan tersebut untuk mengawal keselamatan dan mengurus perjalanan orang ramai, manakala lebih 2,500 kamera dipasang untuk memantau pergerakan dan kepadatan penziarah bagi mencegah insiden seperti rempuhan.

Beberapa pemimpin pembangkang mengkritik kerajaan pusat dan negeri yang dipimpin parti nasionalis Hindu Bharatiya Janata Party (BJP) pimpinan Modi. 

Pihak pembangkang menyalahkan rempuhan itu atas “salah urus” dan “budaya VIP” – merujuk kepada layanan istimewa yang diberikan kepada ahli politik dan selebriti.

“Kerajaan sepatutnya membuat persiapan yang lebih baik untuk memenuhi keperluan penziarah biasa,” tulis pemimpin pembangkang Rahul Gandhi di platform media sosial X.

Festival selama 45 hari itu adalah acara budaya yang penting bagi penganut Hindu di India, yang membentuk hampir 80 peratus daripada lebih 1.4 bilion penduduk negara itu. Ia juga merupakan acara berprestij bagi Modi memandangkan partinya sering menonjolkan simbol budaya Hindu.

Festival Maha Kumbh sebelum ini pernah menyaksikan insiden rempuhan. Pada 2013, sekurang-kurangnya 40 penziarah terbunuh dalam satu insiden rempuhan di stesen kereta api di Prayagraj semasa festival sedang berlangsung.

Kejadian rempuhan yang memakan nyawa adalah perkara biasa di festival keagamaan di India, di mana orang ramai berkumpul dalam ruang yang sempit. Pada Julai 2023, sekurang-kurangnya 116 orang terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, apabila ribuan penziarah di sebuah perhimpunan agama di utara India menolak sesama sendiri dan menyebabkan rempuhan besar di khemah perayaan di bandar Hathras.

SUMBER: AP

Cari Berita Lain
Revolusi AI: Malaysia kekal komited pacu masa depan kerja berpaksikan nilai kemanusiaan
Tinjauan global: Majoriti penduduk di 36 negara berpandangan negatif terhadap Israel
Raih 184 undi, Malaysia dipilih sebagai ahli Majlis Ekonomi dan Sosial PBB
Tarif AS belum muktamad: Rundingan masih berjalan, kata Johari
Malaysia cari alternatif peluru berpandu, mahu Norway segera pulang wang tuntutan
Malaysia kutuk pencerobohan Masjid Al-Aqsa oleh penduduk haram Zionis
AS pertimbang jual sistem peluru berpandu kepada Malaysia
Norway batal kontrak peluru berpandu: Malaysia kesal komuniti antarabangsa membisu
DOJ rampas kondominium mewah dibeli guna dana 1MDB untuk pembantu Jho Low
Jutaan umat Islam berkumpul di Arafah tunai ibadah Haji
Anwar gesa penyelesaian damai di Timur Tengah, kecam serangan rejim Zionis
Anwar: Malaysia sedia sokong usaha damai susulan perkembangan rundingan AS-Iran
Malaysia gesa perjanjian rangka kerja inklusif jamin laluan selamat di Selat Hormuz
Skandal 1MDB: Goldman Sachs setuju bayar AS$500 juta selesai saman pemegang saham
Lima rakyat Malaysia ditahan cuba masuk Mekah tanpa permit Haji
Malaysia intai sistem peluru berpandu Korea Selatan susulan pembatalan perjanjian Norway - laporan
Kajian: Malaysia negara ke-7 paling dipercayai di dunia
Malaysia beri peringatan kepada negara serantau mengenai perjanjian pertahanan dengan Norway
Malaysia tuntut RM1 bilion daripada syarikat Norway susulan pembatalan perjanjian peluru berpandu
Mindef tubuh tiga jawatankuasa selepas Norway batal lesen eksport peluru berpandu