Insiden tembakan berhampiran konsulat Israel di Istanbul, 3 pengganas "dineutralkan" - Menteri Turki
Pihak berkuasa Türkiye telah melancarkan siasatan menyeluruh susulan kejadian berbalas tembakan yang mencederakan dua pegawai polis di Besiktas.
Satu kejadian berbalas tembakan berlaku berhampiran konsulat Israel di daerah Besiktas, Istanbul, yang menyaksikan tiga suspek bersenjata telah “dineutralkan” dan dua pegawai polis cedera, kata Menteri Dalam Negeri Türkiye pada Selasa.
Mustafa Ciftci berkata suspek melepaskan tembakan ke arah anggota polis di luar kompleks Yapı Kredi Plaza, sekali gus mencetuskan insiden berbalas tembakan, di mana kesemua tiga penyerang telah "dineutralkan." Pegawai yang cedera dilaporkan mengalami kecederaan ringan.
Menteri Kehakiman Akın Gurlek berkata pendakwa raya telah melancarkan siasatan terhadap laporan awal mengenai tembakan di kawasan itu dengan menghantar seorang timbalan ketua pendakwa raya dan dua pendakwa raya ke tempat kejadian.
Gabenor Istanbul Davut Gul berkata konsulat Israel yang terletak di dalam plaza tersebut telah ditutup sejak dua setengah tahun yang lalu.
Suspek dikenal pasti
Seorang penembak yang maut dalam kejadian, Yunus E.S., dilaporkan mempunyai kaitan dengan organisasi pengganas yang mengeksploitasi agama.
Dua lagi suspek yang merupakan adik-beradik, Onur C. dan Enes C., turut ditahan selepas mengalami kecederaan. Menurut kementerian dalam negeri Türkiye, Onur C. mempunyai rekod dadah.
“Turut dikenalpasti adalah penggunaan komunikasi digital yang intensif dalam kalangan tiga suspek yang telah dineutralkan itu, dan proses soal siasat suspek yang cedera masih diteruskan," kata kementerian itu.
Ia menambah bahawa siasatan yang sedang dijalankan turut diselaraskan bersama pihak berkuasa undang-undang, dengan usaha ditumpu kepada mendedahkan matlamat dan motif di sebalik serangan itu.