DUNIA
2 min membaca
Malaysia gerakkan Kempen Grand Sumud Nusantara demi Gaza
Kempen berskala besar itu akan dilaksanakan melalui lima fasa strategik, bermula dengan penghantaran bantuan kecemasan sehingga ke tindakan undang-undang di peringkat global.
Malaysia gerakkan Kempen Grand Sumud Nusantara demi Gaza
Fasa awal melibatkan penghantaran 30 kontena bantuan kemanusiaan seberat 374 tan yang kini berada berhampiran Terusan Suez, Mesir. (FAIL) / Reuters
5 jam yang lepas

Malaysia melancarkan misi bersepadu Kempen Grand Sumud Nusantara 2026, merangkumi mobilisasi darat dan laut sebagai tanda solidariti utuh buat rakyat Gaza, menurut laporan BERNAMA.

Ketua Pengarah Pusat Arahan Sumud Nusantara (SNCC) Ahmad Sani Araby Alim Araby, menegaskan kempen berskala besar itu akan dilaksanakan melalui lima fasa strategik, bermula dengan penghantaran bantuan kecemasan sehingga ke tindakan undang-undang di peringkat global.

Fasa awal melibatkan penghantaran 30 kontena bantuan kemanusiaan seberat 374 tan yang kini berada di sebuah gudang berhampiran Terusan Suez, Mesir.

Ahmad Sani menjelaskan, bantuan tersebut akan disalurkan melalui lintasan sempadan Rafah hasil kerjasama diplomatik antara kerajaan Malaysia dan Mesir.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia ke Gaza melalui delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Menyusul selepas itu, fasa kedua akan menyaksikan sidang media antarabangsa diadakan di pintu sempadan Rafah bagi menegaskan pendirian keras Malaysia terhadap konflik Gaza.

Sementara itu, fasa ketiga pula menumpukan kepada penyertaan dalam misi Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF2.0) yang membabitkan wakil dari 100 buah negara.

Katanya, Malaysia menghantar lima doktor dan kru kapal, sekaligus mengukuhkan peranan negara sebagai antara penganjur utama misi maritim berkenaan.

Di peringkat diplomasi tertinggi, fasa keempat akan menyaksikan penglibatan Malaysia dalam Kongres Parlimen Sumud Sedunia di Brussels bagi merangka dasar krisis Gaza.

Kempen itu akan memuncak pada fasa kelima menerusi tindakan undang-undang di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), The Hague, susulan penahanan aktivis di perairan antarabangsa dalam misi terdahulu.

Usaha komprehensif itu mendapat naungan penuh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, menjadikan Malaysia negara pertama yang menyokong inisiatif tersebut secara kolektif dan rasmi.

Tokoh kemanusiaan, Nadir Al-Nuri, turut dilantik sebagai Ketua Misi (Chef de Mission) Sumud Nusantara berdasarkan pengalaman luas beliau sebagai pengasas bersama jawatankuasa pemandu GSF global.

Ahmad Sani menyeru rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang agama dan politik untuk terus bersatu menyokong misi ini.

Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan maklumat tidak sahih yang tular di media sosial bagi memastikan kelancaran agenda kemanusiaan negara di persada antarabangsa.