Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) pertama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang sedang dibina di Türkiye dijadualkan diterima Malaysia pada Februari tahun depan.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata dua unit MPMS sedang dibangunkan oleh Desan Shipyard di Türkiye sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keupayaan maritim Malaysia.
“Türkiye merupakan antara rakan penting Malaysia dalam memperkukuh keupayaan maritim negara. Ketika ini, dua unit Kapal Misi Pelbagai Guna sedang dibangunkan oleh Desan Shipyard di Türkiye untuk Malaysia, dengan kapal pertama dijadualkan diterima pada Februari tahun hadapan,” katanya dalam catatan di Facebook.
Menurut Saifuddin, penambahan aset berkenaan penting bagi meningkatkan keupayaan APMM dalam mendepani cabaran keselamatan di kawasan perairan negara yang luas dan semakin kompleks.
“Dengan kawasan perairan negara yang luas dan cabaran di laut yang semakin pelbagai, keperluan kepada aset yang moden dan berkeupayaan tinggi sememangnya menjadi satu keutamaan,” katanya.
Saifuddin berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Duta Besar Türkiye ke Malaysia Nevzat Uyanik.
“Saya berharap segala perancangan berjalan lancar dan kedua-dua kapal ini dapat diterima mengikut jadual, seterusnya memperkukuh kesiapsiagaan APMM dalam menjaga keselamatan perairan negara,” katanya lagi.




















