Pemimpin Cuba dan Colombia mengecam serangan tentera Amerika Syarikat yang dilaporkan berlaku di Venezuela pada Sabtu.
“Cuba mengecam dan menuntut reaksi segera daripada masyarakat antarabangsa terhadap serangan jenayah AS ke atas Venezuela,” kata Presiden Cuba Miguel Diaz-Canel di platform media sosial X milik syarikat AS.
Beliau berkata rantau itu sedang “diserang secara kejam” dan menyifatkannya sebagai “keganasan terhadap rakyat Venezuela yang berani dan terhadap Benua Amerika Kita.”
Presiden Colombia Gustavo Petro turut menyuarakan kebimbangan terhadap laporan letupan dan aktiviti udara yang luar biasa di Venezuela serta ketegangan yang semakin memuncak.
Beliau menolak “sebarang tindakan ketenteraan unilateral yang akan memburukkan keadaan atau meletakkan penduduk awam dalam risiko.”
Venezuela menuduh Amerika Syarikat menyerang lokasi awam dan tentera di Caracas dan bandar-bandar lain. Memetik pemimpin AS, Fox News melaporkan bahawa tentera AS menyerang Venezuela, namun setakat ini belum ada pengesahan rasmi daripada Washington.
Menteri Luar Venezuela, Yvan Gil berkata negara itu “menolak, mengecam dan mengutuk … pencerobohan tentera yang amat serius.”
Presiden Nicolas Maduro menandatangani dan mengarahkan pelaksanaan perintah yang mengisytiharkan Darurat Gangguan Luaran di seluruh negara.














